Berita Utama

MRSM: Majoriti pelajar SJK ada masalah besar cakap Melayu

Kekal dasar ambilan pelajar tanpa kira aliran sekolah tak relevan

BANGI, 2 Safar 1443H, Khamis – Keputusan kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tanpa mengambil kira aliran sekolah dianggap tidak relevan.

Ini kerana, tindakan itu pastinya membuka ruang kepada pihak yang bermati-matian menolak sistem pendidikan kebangsaan serta bahasa penghantar yang sama bagi semua sekolah sejak awal merdeka dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Jaringan NGO SEDAR (SEDAR), Kamal Shukri Abdullah Sani menyifatkan sangat tidak wajar dan munasabah golongan sedegil ini diberi peluang yang sama untuk meraih habuan yang tidak pernah diperjuangkan bersama-sama.

Amat tidak adil bagi golongan pelajar keturunan yang sama tetapi sanggup bersekolah kebangsaan, katanya.

“Jika diteliti akta dan peraturan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MRSM untuk menambah bilangan teknokrat Bumiputera yang masih diperlukan.

“Juga didapati pada peringkat awal, kira-kira dua tahun lalu apabila diberi peluang didapati majoriti mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bermasalah besar untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan rakan pelajar dan guru.

“Jelas ini juga menggambarkan satu kegagalan SJK selama lebih 60 tahun, bukan masa yang singkat,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa penubuhan MARA, MRSM dan institusi lain bersandarkan teras dalam Perlembagaan Perkara 153, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain.

Justeru katanya, mereka yang lupa dan cuba merobek kedudukan istimewa ini termasuk menteri adalah golongan yang lupa akan sejarah.

“Sedangkan pemberian kewarganegaraan secara jus soli dahulu pada hakikatnya adalah ‘hutang’ yang tidak terbayar sehingga bila-bila kepada orang Melayu berbanding beberapa peruntukan dalam Perlembagaan yang menjadi pancang

“Dan asas pembentukan negara ini seperti bahasa Melayu, agama Islam, kedaulatan Raja-Raja yang sebenarnya merupakan hak asal yang bukan untuk ditukar ganti atau dikompromi dan turut diakui oleh British sejak belum merdeka lagi.

“Oleh itu, janganlah sesiapa termasuk menteri lupa akan hakikat dan sejarah ini, kelak semuanya akan beransur-ansur hilang jika semua rakyat lupa dan ingat sejarah seolah-olah bermula pada 1957 atau 1963 sahaja,” katanya.

Terdahulu, selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM tanpa mengambil kira aliran sekolah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar berhak mendapat peluang menyambung pelajaran di MRSM sekali gus cadangan perubahan dasar berkaitan perkara itu yang diumumkan sebelum ini tidak diguna pakai.

Untuk rekod, beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap syarat baharu kemasukan ke MRSM yang hanya menerima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan.

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 antaranya menyatakan kemasukan bagi pelajar tingkatan satu dan empat dihadkan kepada permohonan calon dari Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan sahaja.

Sebelum ini, syarat kemasukan ke MRSM hanya memerlukan pemohon sebagai warganegara Malaysia yang juga terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button