Berita Utama

Ada pihak lihat lompat parti peluang ‘perniagaan’ jadi kaya, dakwa BERJASA

Gubal segera perundangan, masalah sudah jadi kanser dalam politik negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Safar 1443H, Jumaat – Undang-undang lompat parti perlu segera digubal bagi mengatasi kanser di dalam politik negara, sekali gus dapat mengembalikan semula sistem keadilan.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, perkara itu tidak boleh dilengahkan lagi kerana ia sudah menjadi budaya dan punca ketidakstabilan kepada situasi politik negara.

“Menerusi undang-undang itu nanti ia dilihat membantu kepada ketelusan dan kelancaran pentadbiran dan tindakan Ahli-ahli Parlimen yang keluar dari parti akan diklasifikasikan sebagai kesalahan yang membawa kepada hilangnya kelayakan mereka sebagai Ahli Parlimen yang sepatutnya fokus membawa agenda rakyat daripada pengukuhan survival politik.

“Ini semua penyakit dalam politik, tidak boleh dibiarkan akan merebak sehingga boleh menghancurkan negara suatu hari nanti.

“Apa guna pengundi turun mengundi sekiranya mereka sesuka hati berubah parti demi kepentingan mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang mahu budaya lompat parti ditangani segera dan bersungguh-sungguh dengan meneliti punca sebenar masalah.

Kata Ustaz Zamani lagi, keadaan lompat parti sebenarnya berpunca daripada sikap individu itu yang sanggup mencalar kredibiliti sebagai pemimpin yang berjuang demi rakyat.

“Golongan ini sebenarnya bukan mahu membela rakyat tapi rakus mencari kuasa sehingga sanggup jual maruah diri dalam politik.

“Pembelotan kepada parti sedia ada tidak akan membawa faedah, sebaliknya hanya mencemarkan kesucian Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut beliau mendakwa, perbuatan melompat parti bukan dengan tangan kosong tetapi ada yang sanggup menukarnya dengan wang ringgit dan dilihat sebagai perniagaan dalam politik.

“Golongan ini tergamak menjadi lompat parti itu sebagai peluang perniagaan yang boleh menguntungkan sehingga boleh menjadi kaya-raya.

“Ini tidak patut berlaku memandangkan wakil rakyat yang dipilih adalah mandat daripada rakyat kepada pemimpin.

“Tetapi golongan ini pula mahu mencari kekayaan bukan mahu membawa suara rakyat tetapi memiliki agenda peribadi,” ujarnya.

Justeru, Ustaz Zamani merasakan sudah tiba masa semua Ahli Parlimen menjadi individu yang jujur dan bertanggungjawab untuk memastikan sistem politik negara serta keyakinan rakyat kembali pulih, selain undang-undang berkaitan isu ini perlu diselesaikan segera.

Katanya, undang-undang itu nanti dapat memastikan wakil rakyat lebih bertanggungjawab secara berterusan kepada pengundinya dan mandat yang diberikan sebelum ini boleh dibatalkan sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peruntukan undang-undang berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button