Berita UtamaDunia

Anhar al-Deek selamat lahirkan bayi lelaki

Pernah jadi tahanan rejim Zionis ketika kandungan berusia lima bulan

RAMALLAH, 3 Safar 1443H, Jumaat – Wanita Palestin yang pernah menjadi tahanan rejim penjajah Israel, Anhar al-Deek selamat melahirkan seorang bayi lelaki.

Wanita berusia 25 tahun itu dari bandar Kafr Ni’ma di Ramallah menamakan anak lelakinya dengan nama Alaa.

Kelahiran ini merupakan anak kedua selepas anak sulung perempuan, Julia.

Sebelum ini, ketika kandungan berusia lima bulan dia ditahan tentera Israel selepas dituduh cuba menikam seorang anggota di kawasan penempatan haram Israel.

Dia kemudiannya dibawa ke Penjara HaSharon dan dijadikan tahanan di sana.

Sepanjang berada dalam penjara, Anhar pernah menulis surat memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia membebaskan dirinya dari Penjara HaSharon dan bersalin di luar pusat tahanan.

Dia juga turut dilaporkan mengalami kemurungan semasa dalam tahanan dan memerlukan rawatan khusus.

Pada 2 September lalu, dia dibebas dengan ikat jamin 40,000 shekel atau kira-kira RM50,000, selain ketetapan tidak boleh keluar dari kediaman keluarganya.

Terdahulu, pihak berkuasa negara haram Israel enggan membebaskan Anhar yang sarat mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan bayi di dalam penjara.

Susulan itu, keluarga Anhar merayu kepada badan antarabangsa supaya campur tangan bagi membolehkan wanita yang dizalimi itu bersalin di luar penjara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button