Berita Utama

Isu MRSM: Konsep Keluarga Malaysia bukan ‘lesen’ gadai hak Melayu

Fahami Perlembagaan, jangan ambil mudah demi laksana agenda

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Safar 1443H, Jumaat – Konsep Keluarga Malaysia yang cuba menyatukan semua pihak di negara ini diingatkan untuk tidak menggadai perkara disifatkan sebagai hak orang Melayu.

Perkara itu disuarakan Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad yang tidak menyokong dasar serta syarat kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dengan memberi peluang kepada pelajar semua aliran untuk memohonnya.

“Alumni GPMS menyokong dan terima konsep itu demi keharmonian tapi dengan syarat tidak bercanggah dengan hak semua bangsa dan agama yang telah terjamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan kerana konsep Keluarga Malaysia, kita langgar Perlembagaan Persekutuan, yang boleh diibarat menggadai bangsa sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas dasar baharu kemasukan ke MRSM oleh kerajaan yang membukanya kepada sekolah aliran lain.

Tegas beliau, seharusnya semua pihak memahami apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan tidak terlalu mudah mengubahnya demi menjayakan konsep yang dibawa.

“Walaupun menggunakan konsep Keluarga Malaysia namun hak mutlak kita perlu diperkemaskan, itu sudah tertulis dalam Perlembagaan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Syed Anuar meminta semua pihak tidak menyalahgunakan konsep Keluarga Malaysia dengan mengambil mudah semua perkara, sebaliknya perlu mengekalkan apa yang dianggap sebagai keistimewaan orang Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button