Berita Utama

Kerjasama Tun M-Muhyiddin mampu beri impak besar pada penyatuan Melayu

Apabila kuasa politik Melayu dominan, semua bangsa akan aman damai

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Kerjasama semula dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya memberi impak yang besar kepada penyatuan bangsa Melayu di negara ini.

Bagi parti BERJASA, gabungan kedua-dua pemimpin itu dilihat sebagai satu tindakan yang baik kerana berteraskan kepada perjuangan orang Melayu.

Sebelum ini, Muhyiddin menyambut baik kesediaan Tun Mahathir untuk bekerjasama demi memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.

Presiden Parti Bersatu itu berkata, beliau sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

Justeru, beliau secara peribadi bersedia bekerjasama dengan semua tokoh Melayu-Islam, termasuk Dr Mahathir dalam memperjuangkan agama, bangsa serta negara.

Mengulas perkara itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, pihaknya sangat gembira jika Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin bergabung dan bekerjasama demi penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

“Sebenarnya rakyat rindu untuk melihat pemimpin-pemimpin ini bersatu, rakyat mahukan penyatuan.

“Apabila Melayu dominan dan berkuasa, maka semua bangsa boleh duduk aman damai dan harmoni, di bawah rimbun penyatuan orang Melayu yang sangat adil dan bertimbang rasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau juga menyifatkan Tun Mahathir sebagai negarawan yang berjiwa besar dan sentiasa mencari jalan untuk menyatupadukan bangsa Melayu.

“Tun sangat aktif membawa agenda bangsa Melayu dan menyatukan Melayu sebab dia sedar bahawa perpecahan Melayu sangat merugikan orang Melayu.

“Jadi saya melihat gabungan semula Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin adalah satu petanda yang sangat baik dari segi kaca mata syarak, dan menguntungkan bangsa Melayu.

“Mereka lebih melihat kepada kepentingan bangsa dan negara, bahkan penyatuan mereka berdua adalah didasari oleh nas dan syarak yang menggalakkan kita berbaik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada pihak yang menentang penyatuan kedua-dua pemimpin ini supaya lebih berfikiran terbuka dan melihat ia bukan sekadar perspektif kepartian semata-mata.

“Bagi mereka yang tidak bersetuju, mungkin mereka ini memandang dari sudut negatif, ataupun dari sudut politik dan kepartian sahaja.

“Justeru, jangan melihat sesuatu perkara itu hanya semata-mata daripada kaca mata politik kepartian.

“Sebenarnya, musuh Islam di mana saja, di dalam atau luar negara, sangat suka kita berpecah dan bergaduh kerana tidak mahu kita bersatu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button