Dunia

Pakistan beri amaran ancaman krisis kemanusiaan di Afghanistan

Wabak, kegagalan pemerintah sebabkan hampir 18 juta rakyat perlu bantuan segera

ISLAMABAD, 3 Safar 1443H, Jumaat – Pakistan memberi amaran bahawa Afghanistan boleh diancam ke dalam krisis kemanusiaan ekoran jutaan penduduknya memerlukan bantuan segera.

Duta Besar Pakistan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Munir Akram dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak antarabangsa perlu mencegah keadaan itu daripada menjadi semakin buruk, kerana dibimbangi boleh mencetuskan aliran keluar pelarian dan merumitkan prospek membina keamanan serta keselamatan.

“Oleh kerana wabak pandemik COVID-19, kegagalan pemerintah dahulu dan salah laku mereka, situasi kemanusiaan di Afghanistan mengerikan dengan hampir 18 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan segera,” katanya.

Akram berkata, masyarakat antarabangsa harus mengambil iktibar daripada masa lalu, selain terus terlibat dalam isu Afghanistan kerana ketidakstabilan dan keruntuhan ekonomi akan mengekalkan konflik serta memanjangkan penderitaan rakyat di negara itu.

Katanya, lebih sejuta penduduk Afghanistan telah terbunuh, cedera, hilang upaya kekal dan trauma selama empat dekad perang yang turut memusnahkan ekonomi negara.

“Keadaan ini tidak akan menguntungkan sesiapa pun kecuali mereka yang melihat konflik berlanjutan di Afghanistan sebagai peluang untuk memanfaatkan kekacauan dengan menaja keganasan dari wilayahnya.

“Hari ini Afghanistan berada di titik genting dalam sejarahnya. Rakyat Afghanistan boleh dengan sokongan masyarakat antarabangsa, memulihkan keamanan dan menghidupkan kembali prospek pembangunan,” katanya.

Menekankan keperluan pemulihan perdamaian di Afghanistan, Akram berkata, Pakistan sebagai negara jiran juga terkesan dengan konflik di wilayah berkenaan.

“Apa yang disebut perang melawan keganasan, 80,000 rakyat Pakistan terbunuh dalam serangan keganasan dan ribuan lain cedera. 

“Malah, ekonomi di Pakistan juga mengalami kerugian dianggarkan lebih daripada AS$150 bilion,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button