Berita Utama

UEC disokong kuasa besar? Kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa?

UEC menipu sejarah, tonjolkan isu perkauman, menanamkan kebencian

BANGI, 3 Safar 1443H, Jumaat – Kerajaan Keluarga Malaysia kini tidak mampu berbuat apa-apa dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana dipercayai ada kuasa lebih besar dan kuat yang mendanai serta menyokongnya.

Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, padahal, ia bukanlah berkaitan politik, sebaliknya isu identiti negara yang sepatutnya menyatukan seluruh rakyat Malaysia tidak kira kecenderungan politik kepartian masing-masing.

“BN, PH, PN dan kini Keluarga Malaysia ternyata tidak mampu berbuat apa-apa kerana isu ini ada kuasa yang lebih besar dan kuat mendanai dan menyokongnya.

“UEC amat terang dan jelas menggunakan sukatan dari Taiwan, menghina bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Dasar Pendidikan Negara 1967, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan semangat perpaduan dan patriotisme yang sepatutnya menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia.

“Hari ini generasi rakyat Malaysia berbangsa Cina ada yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu dan tidak mustahil jurang perpaduan yang besar ini bakal menjerumuskan negara ke lembah perpecahan termasuk peristiwa rusuhan kaum seperti berdarah 13 Mei 1969,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, dakwanya lagi, kajian menunjukkan sukatan UEC menipu sejarah, menonjolkan isu-isu perkauman termasuk peristiwa 13 Mei 1969, menanamkan kebencian terhadap bangsa lain serta berkiblatkan tanah besar China

“UEC juga wajar ditolak oleh rakyat Malaysia berbangsa Cina kerana bakal mengancam kedudukan pelajar Cina dari aliran kebangsaan untuk mendapat tempat di IPTA dan sektor awam,” katanya.

Selain itu, orang Melayu Islam pula, kata Muhammad Lukman jangan terpengaruh dengan kenyataan yang menyamakan sukatan pelajaran pondok, sekolah Arab, tahfiz dan sekolah agama swasta dengan UEC kerana ianya tidak tepat.

“Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mana mungkin sistem pendidikan Islam yang sebahagiannya diajar menggunakan bahasa Arab bercanggah dengan Perlembagaan itu sendiri,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button