Berita Utama

UEC: Kerajaan tidak ‘bertaring’ banteras anasir hancurkan negara

Iktiraf UEC tindakan politik sampah tidak harus diberi pertimbangan langsung

BANGI, 3 Safar 1443H, Jumaat – Kerajaan seolah-olah memberi satu sokongan kepada pihak yang melanggar Perlembagaan dan dasar pendidikan sedia ada sekiranya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ini kerana, UEC jelas bercanggah dan melanggar pelbagai aspek termasuk Perlembagaan, perpaduan, Akta Bahasa serta Akta Pendidikan negara.

Justeru, jika sijil berkenaan diiktiraf, bermakna kerajaan turut menyokong tindakan golongan minoriti yang menentang semua dasar itu, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Bagi saya ini satu tindakan politik sampah yang tidak harus diberikan pertimbangan langsung.

“Jangankan dibawa ke meja perundingan, malah pertimbangan pun tidak harus diberikan,” katanya dalam bual bicara Agenda Pertiwi, malam tadi.

Sebelum ini, timbul desas-desus berkenaan rancangan kerajaan mengiktiraf UEC yang didakwa sebagai kelulusan bersyarat seperti wajib lulus bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Dakwaan itu timbul susulan laporan portal berita Samudera.my mendedahkan, bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Tindakan ini menurut sumber dalaman portal berkenaan, berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan ‘Confidence & Supply Agreement’ (CSA) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Menyelar rancangan itu, Aminuddin menyifatkan kerajaan – yang dimonopoli pemimpin Melayu, Islam – seperti tidak ‘bertaring’ dan mempunyai keberanian untuk membanteras sebarang anasir yang menghancurkan negara.

“Kita kena ingat mereka ini sangat minoriti, hanya ada 60 sekolah sahaja berbanding sekolah kebangsaan (SK) yang mempunyai ribuan. Tetapi (tuntutan) mereka sudah cukup menggegarkan negara.

“Bagi saya, ini suatu yang sangat luar biasa. Kejelikan yang tak dapat kita nilai tentang politik hari ini yang menyebabkan kita terpaksa berunding dengan pihak yang membuat segala bentuk pelanggaran kepada Perlembagan dan akta,” katanya.

Beliau berkata, penentangan terhadap UEC bukan hanya membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang cintakan perpaduan, bahkan juga kaum Cina yang berada di sekolah kebangsaan.

“UEC ini bagi saya memberikan satu diskriminasi kepada kaum Cina dan India yang duduk dalam sekolah kebangsaan. Mereka diberi peluang belajar di IPT sekiranya UEC diiktiraf kerajaan kerana peruntukan itu diberikan kepada sekolah yang ditadbir NGO dan tiada kaitan dengan dasar pendidikan nasional serta bukan tertakluk di bawah KPM.

“Maka, sangat pelik jika diluluskan kerana sikap dan silibus mereka yang mendewakan negara lain. Justeru, jangan pertaruhkan nasib bangsa kita hanya sebab pertimbangan politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button