Berita Utama

Warga Myanmar ditahan guna nama rakan senegara bagi dapat suntikan vaksin

Direman tiga hari bantu siasatan kes

GEORGE TOWN, 3 Safar 1443H, Jumaat – Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes menggunakan nombor pasport dan nama rakan senegaranya bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,  dalam kejadian di sini minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di pusat pemberian vaksin (PPV) Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon pada 4.20 petang semalam ketika suspek mahu mendapatkan suntikan vaksin.

“Polis menjalankan siasatan berhubung perkara itu selepas menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun pada 6 Sept lepas selepas mengesyaki ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan identitinya bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Mangsa dimaklumkan oleh petugas PPV Tapak Pesta Sungai Nibong yang nama dan nombor pasportnya telah didaftarkan di PPV RiVAC di Gurney Paragon ketika dia hadir untuk menerima suntikan dos pertama pada 6 Sept.

“Pemeriksaan mendapati suspek telah menggunakan identiti mangsa dengan dos pertama telah diterima pada 20 Ogos manakala dos kedua dijadualkan semalam,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Soffian berkata susulan laporan polis itu, pihaknya menjalankan siasatan sebelum sepasukan polis yang dibantu petugas keselamatan di PPV RiVAC Gurney Paragon telah berjaya menahan lelaki yang menggunakan identiti mangsa di PPV berkenaan ketika dia hadir untuk menerima suntikan dos kedua.

Katanya, polis turut merampas beberapa dokumen daripada suspek antaranya i-kad dan kad pengenalan diri atas nama orang lain iaitu milik mangsa yang membuat laporan polis tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa tidak mengenali suspek dan kami masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana suspek mencuri identiti mangsa,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek juga tiada dokumen perjalanan yang sah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button