Berita UtamaKata Pedang

Endemik COVID-19 bukan fasa rasa bebas dan selesa

Kekalkan rutin dilalui sebelum ini dalam usaha membendung COVID-19

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Jangan rasa cepat selesa dan bebas apabila memasuki fasa endemik, sebaliknya kekalkan rutin yang dilalui sebelum ini dalam usaha membendung COVID-19.

Selari dengan itu, Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Norzaidi Zakaria berkata, apabila COVID-19 mencapai tahap endemik, tidak bererti virus terbabit semakin lemah, namun orang ramai perlu lebih berhati-hati dan ambil serius untuk menentangnya.

“Jangan rasa selesa dan kita sudah bebas, kerana itu kita mengabaikan SOP yang dilalui sebelum ini sebaliknya terus berdisiplin dan mengamalkan kehidupan dengan lebih berhati-hati.

“Rakyat juga perlu terus berjaga-jaga termasuk mematuhi tiga SOP utama ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

“Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan rakyat di tempat sesak serta lokasi tertutup perlu diteruskan, memandangkan virus ini belum lagi lenyap sepenuhnya di muka bumi ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mahu negara memasuki fasa endemik bermula akhir Oktober ini selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Mengulas lanjut Dr Norzaidi berkata, orang ramai disarankan supaya mengaktifkan tahap kejujuran kesihatan diri sendiri supaya kes kekal sehingga ribuan sehari.

“Jangan disebabkan kerajaan melonggarkan peraturan-peraturan tertentu, kita juga tidak jujur menyatakan tahap kesihatan diri.

“Sekiranya tidak sihat, perlu tahu di mana kedudukan jangan disebabkan mahu bekerja atau kepentingan diri kita abai kesihatan, hal ini menyebabkan kes merebak kepada individu lain sekali gus mencanakkan lagi jumlah kes harian,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yang juga pemilik Klinik Kaseh di Ampang menegaskan supaya pihak kerajaan harus mempelajari dan mengambil iktibar modus operandi negara luar untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi fasa endemik.

“Perlu diingat, beberapa negara sudah mengambil pendekatan melonggarkan terus SOP, namun selepas wujudnya varian baharu mereka terpaksa memperkenalkan semula serta mengetatkan kembali SOP terbabit.

“Justeru, kerajaan perlu memandang serius hal ini sebelum fasa endemik bermula pada penghujung Oktober nanti,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan diharap mengumumkan SOP yang lebih jelas supaya dapat memberikan manfaat kepada orang ramai yang mendambakan kehidupan normal dalam norma baharu, katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button