Berita UtamaIstimewa

Tawaran libat pembangkang dalam kerajaan jangan sampai gadai maruah Perlembagaan

Pelawaan dalam perihal kerajaan hanya demi kepentingan rakyat, negara tanpa ada perkiraan balas budi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyambut baik tujuh tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi; Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen, pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat (satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang, setiap rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Terakhir, ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Mengulas tawaran tersebut, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berpandangan bahawa salah satu daripadanya iaitu pembentangan Rang Undang Undang Anti-Lompat Parti dilihat sebagai satu perkara yang positif. 

Katanya, sekiranya dilaksanakan, ia diyakini mampu mendisiplinkan wakil rakyat selain dapat mengelakkan rakyat ditipu oleh wakil rakyat mereka sendiri.

“Mana-mana wakil rakyat yang melompat, maka jawatan sebagai wakil rakyat dilucutkan serta-merta dan wakil rakyat tersebut tidak dibenarkan lagi untuk bertanding pada mana-mana pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Manakala tawaran mengenai mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Ustaz Zamani berpandangan, apa yang lebih utama adalah Perdana Menteri tersebut sentiasa menjunjung Perlembagaan. 

Tegasnya, Perdana Menteri yang melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan boleh ‘diheret’ ke mahkamah di atas kesalahan tersebut. 

“Sebab itu BERJASA melihat, perlunya pengasingan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya. Kuasa pendakwa raya mestilah badan bebas yang tidak boleh diganggu gugat atau campur tangan politik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tawaran melibatkan pembangkang dalam perihal kerajaan, BERJASA menegaskan bahawa rakyat tidak mahu penglibatan ini berobjektifkan kestabilan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang. 

Ini kerana, katanya, sekiranya berlaku di sana tawar menawar dan untung rugi merujuk kepada kestabilan Perdana Menteri sendiri, maka ini adalah satu pengkhianatan. 

“Penglibatan pembangkang dengan tawaran mengiktiraf sijil UEC, Perdana Menteri boleh dianggap sebagai menggadaikan maruah Perlembagaan dan negara. BERJASA inginkan ketegasan dari pihak kerajaan terutama Perdana Menteri.

“Didiklah semua MP supaya menjunjung Perlembagaan dan berdisiplin serta berprinsip, pelawaan kepada pembangkang dalam perihal kerajaan hanya demi kepentingan rakyat dan negara tanpa di sana ada perkiraan membalas budi sehingga tergadai maruah negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani berkata, BERJASA berpandangan, kerajaan Keluarga Malaysia mesti mengambil peluang kedua ini selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, dengan memastikan pelantikan jawatan tertinggi negara tiada campur tangan politik. 

Selain itu, beliau berkata, perlu juga dinilai semula suruhanjaya yang wujud di negara ini terutama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). 

“BERJASA mencadangkan SUHAKAM mesti dianggotai oleh pakar-pakar akademik dan individu berjiwa roh Islam, sesuai dengan negara kita yang mengangkat Islam agama Persekutuan. 

“Pimpinan SUHAKAM yang sekarang tidak memberikan keuntungan kepada negara kita sebagai negara Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button