Pendapat

Adakah amalan kita diterima?

Jaga hati dari segala sifat mazmumah seperti riyak dan hasad

1. AL-Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan kisah Amir bin Abdullah al-Anbari yang menangis ketika saat kematiannya. Apabila ditanya, mengapa engkau menangis wahai Amir. Beliau menjawab: Aku tidak tahu sama ada amalan aku selama ini diterima oleh Allah atau tidak kerana Allah berfirman:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِين

“Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan mereka yang bertaqwa (sahaja).”

2. Ayat ini pada hakikatnya menceritakan dialog di antara Qabil dan Habil yang mempersembahkan amalan mereka kepada Allah. Habil menasihatkan Qabil yang mengancam ingin membunuhnya bahawa Allah hanya menerima amalan dari hamba yang bertakwa sahaja.

3. Menurut al-Imam al-Zamakhsyari, setelah menerima ancaman bunuh daripada saudaranya itu, Habil melihat bahawa sifat hasad yang merosakkan hati saudaranya itu adalah disebabkan kerana hilangnya sifat takwa. Dan hanya dengan takwa sahajalah Allah menerima amalan kita.

4. Sebab itu generasi salaf terdahulu sangat bimbang sekiranya amalan yang mereka lakukan setiap hari tidak diterima oleh Allah. Saidina Abu Darda pernah berkata:

لَأَنْ أَسْتَيْقِنَ أَنَّ اللَّهَ قَدْ تَقَبَّلَ مِنِّي صَلَاةً وَاحِدَةً أَحَبُّ إِلَيَّ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ: ﴿ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ ﴾».

“Andai aku dapat kepastian (atau keyakinan) yang Allah telah menerima solatku ini adalah lebih aku cintai dari seluruh isi dunia ini kerana Allah pernah berfirman bahawa Allah hanya menerima amalan orang yang bertaqwa sahaja.”

5. Al-Imam Ahmad pernah ditanya tentang apa yang dimaksudkan dengan taqwa oleh ayat ini lalu beliau menjawab:

يتقي الأشياء فلا يقع فيما لا يحل له .

“Hendaklah kamu berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak melakukan perkara yang tidak halal bagi kamu.” Ini kerana terjebak dengan melakukan perkara yang dilarang akan menjauhkan kita dari mendapat kedudukan taqwa.

6. Musa bin A’yan pernah ditanya tentang apa yang dimaksudkan dengan orang yang bertaqwa ini. Beliau lalu menjelaskan:

تنزهوا عن أشياء من الحلال مخافة أن يقعوا في الحرام فسماهم متقين .

“Hendaklah kamu sentiasa membersihkan diri dalam menerima perkara yang halal dan berhati-hati agar tidak terjebak dengan perkara yang haram. Itulah yang dinamakan orang yang bertaqwa.

7. Beberapa insiden ini menunjukkan betapa para salafusoleh terdahulu sangat bimbang sekiranya amalan mereka tidak diterima oleh Allah kerana Allah hanya menerima daripada orang yang bertaqwa.

8. Oleh yang demikian, jaga hati kita dari segala sifat mazmumah seperti riyak dan hasad. Jangan sampai hati dirosakkan dengan urusan dunia sehingga tercabut sifat takwa yang menyebabkan amalan kita tidak diterima Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button