Berita Utama

Aktiviti teroka Bukit Tabur tak pernah dapat kelulusan

Pihak penguat kuasa ke lokasi hentikan aktiviti dan sita jentera

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Aktiviti penerokaan yang dilakukan di kawasan Bukit Tabur, Ampang dilakukan secara haram dan tidak pernah mendapat kelulusan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di akaun Twitter miliknya memaklumkan, hasil semakan mendapati pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk aktiviti-aktiviti di tanah berkenaan.

“Pihak penguat kuasa telah turun ke lokasi itu untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera itu.

“Kerja-kerja penerokaan itu tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya, hari ini.

Dalam isu Bukit Tabur, ramai pihak membangkitkan soal berkaitan penguatkuasaan.

Tegas beliau pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa dan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya.

Justeru, kerajaan negeri mengalu-alukan aduan dari orang awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan.

Terdahulu, terdapat beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan berlaku kerja-kerja penerokaan di kawasan Bukit Tabur sedang aktif dijalankan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button