Berita Utama

Kerajaan bincang usaha tambah kapasiti solat berjemaah di masjid, surau

Sejajar hasrat negara masuk fasa endemik pada hujung Oktober

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk membuat draf ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau untuk dijadikan panduan kepada seluruh negeri di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, arahan itu dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober, selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

Pada masa sama, Idris memaklumkan akan mengadakan satu pertemuan dengan mufti-mufti negeri, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini. 

Beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil bagi memberi ruang kapasiti yang lebih luas untuk umat Islam solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan rapi. 

Selain itu, katanya, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa termasuk surau-surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat juga akan turut dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri.

“Kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti berkaitannya. 

“Ini kerana, ia sebahagian daripada lima inisiatif MANTAP yang dirancang oleh pihak saya, iaitu Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani serta Pemantapan Institusi Masjid dan Surau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Idris menyatakan harapan agar masyarakat khususnya umat Islam memahami bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan dalam setiap perkara mengutamakan keselamatan rakyat.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri, dalam perkara berkaitan hal ehwal agama Islam agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan. 

“Semua usaha ini sudah pasti akan mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang Di-Pertuan Agong, serta tuanku sultan dan raja negeri-negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button