Berita Utama

Masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan boleh diperluas

Kembangkan fungsi masjid tidak hanya sebagai pusat beribadah

BUKIT GANTANG, 4 Safar 1443H, Sabtu – Inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik seperti yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh diperluas ke negeri lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata langkah ini membolehkan fungsi sesebuah masjid itu dikembangkan dan tidak hanya sebagai pusat beribadah semata-mata.

“Kita boleh cadangkan untuk diperluas ke negeri lain, cuma kita ada pihak berkepentingan sendiri. Kita tidak boleh langgar batasan. Untuk laksanakan (perkara ini) perlu ada perbincangan antara kerajaan negeri, jabatan agama dan pihak Istana.

“Fungsi masjid seharusnya boleh menjadi pusat sehenti, ada pusat perniagaan, bukan untuk solat sahaja. Zaman kegemilangan Islam dahulu, masjid adalah satu pusat pembinaan tamadun dalam sesebuah negara,” katanya selepas menyampaikan bantuan dalam satu program di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah JAWI dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.

Menurut laporan media, Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata program tersebut yang dilancarkan pada Mei lepas, terbuka kepada lelaki dan wanita, termasuk individu bukan Islam, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Terdahulu, Idris menyampaikan sumbangan dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada seorang remaja lumpuh Ahmad Auza’e Subri, 18, dari Kampung Sungai Petai, Changkat Jering, yang kini terlantar setelah terbabit kemalangan jalan raya tiga tahun lepas.

Ibunya Rukiyah Miharta, 56, berkata kemalangan itu menyebabkan anaknya tidak mampu menguruskan diri dan perlu bergantung pada ahli keluarga dari segi urusan seharian termasuk aspek makan, minum dan penjagaan diri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button