Berita Utama

PEMBELA jumpa PM dalam masa terdekat sampai hasrat tolak UEC

Perjumpaan akan bawa suara lebih 100 NGO Melayu, Islam

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyampaikan pesanan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, pertemuan akan membawa suara lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berjuang menentang UEC yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Menerusi pertemuan itu kita mahu menyampaikan pesanan supaya UEC ini ditolak dan mahu Perdana Menteri memberi jaminan bahawa sepanjang tampuk pemerintahan UEC tidak sesekali diiktiraf.

“Dalam isu ini kita mahu PM bertindak tegas dan meneliti semua aspek supaya keputusan yang diambil itu tidak akan merosakan masa depan termasuk anak bangsa sendiri.

“Ini bukan isu yang mudah dan perlu diteliti memandangkan melibatkan masa depan anak cucu kita kini semuanya ada dalam tangan pemimpin hari ini, jangan kerana kuasa, prinsip negara kita tergadai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Izzat berkata, selain PEMBELA, banyak NGO dan tokoh Melayu berpengaruh telah bangkit menyatakan kegusaran dengan perkembangan terkini percaturan politik yang dilalui kerajaan hari ini.

“Kita akan tetap berjuang bagi memastikan agenda itu tidak berterusan yang sekali gus dilihat menolak sistem pendidikan kebangsaan yang sudah lama diguna pakai semenjak negara kita merdeka lagi,” ujarnya.

Jelas beliau, sekiranya UEC diterima ia jelas menjatuhkan kualiti dan keabsahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Dalam isu ini UEC dilihat seperti lebih tinggi daripada SPM dan STPM sedangkan STPM adalah laluan sebenar membawa pelajar memasuki unversiti.

“Semua tahu imej STPM ini adalah bertaraf universiti dan sangat berkualiti cuma pelajar yang menduduki STPM ini hanya berada di sekolah,” tegasnya.

Terdahulu, beliau yang lebih dikenali dengan Cikgu Izzat berkata, persidangan tergempar akan diadakan secara maya yang menggabungkan kira-kira 100 NGO Melayu Islam termasuk sekutu PEMBELA.

“Ini bukti kami sayangkan tanah air dan akan terus berjuang demi masa depan anak-anak bangsa yang akan menjadi pemimpin di suatu hari nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button