Berita Utama

PEMBELA rancak momentum, anjur mesyuarat khas bincang isu tolak UEC

Sekali UEC berjaya diiktiraf, maka rosaklah dasar pendidikan kebangsaan

BANGI, 4 Safar 1443H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan merancakkan pembinaan momentum rakyat menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan pergi lebih bersasar ke peringkat akar umbi masyarakat.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya akan membuat koordinasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan PEMBELA, rangkaian-rangkaian PEMBELA Kebangsaan dan afliasi-afliasinya di seluruh Malaysia.

“Kita akan membuat sesi mesyuarat khas mengenai isu ini dalam masa terdekat untuk menyusun segala gerak kerja tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin menegaskan, beliau dan rakan seperjuangannya tidak akan berhenti sehingga Perdana Menteri memberi jaminan bahawa UEC tidak akan diiktiraf sepanjang mereka memegang tampuk pemerintahan walau apapun yang berlaku termasuk jika terpaksa hilang sokongan majoriti lagi.

“Kerana sekali UEC berjaya diiktiraf, maka rosaklah dasar pendidikan kebangsaan yang telah lama dibina, pencabulan Perlembagaan Persekutuan, pengkhianatan kepada generasi akan datang dan sebagainya. 

“Ketika itu, mustahil ianya tidak akan dapat ditarik semula. Teruskan istiqamah #TolakUEC,” katanya.

Terdahulu, samudera.my yang memetik sumber dalaman melaporkan bahawa UEC bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button