Berita Utama

i-Guru setuju beri vaksin remaja bawah 17 tahun

Buka sekolah tangani kelesuan PdPR, elak murid tercicir

BANGI, 5 Safar 1443H, Ahad – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyokong usaha pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun sebagai persediaan pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan yakin tindakan itu dapat menangani isu kelesuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekali gus mengelakkan keciciran pendidikan.

Beliau percaya, proses pemberian vaksin wajar dimulakan kepada pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan utama terlebih dahulu dan kemudian diikuti pelajar bukan kelas peperiksaan.

“Apabila sekolah dibuka untuk semua murid di negeri Fasa 4, perlu ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk pelajar yang sudah divaksin dan belum divaksin. Ini termasuk SOP terperinci ketika di dalam kelas, di kantin, pemeriksaan kehadiran, penyuraian dan sebagainya. 

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera memastikan proses vaksinasi berjalan lancar. Jadikan sekolah sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) buat pelajar supaya dapat memudahkan ibu bapa dan menjimatkan kos,“ katanya kepada Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan sekolah di negeri Fasa 4 mesti mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya adalah kadar jangkitan rendah, komuniti pendidikan yang telah mencapai 90 peratus su vaksin dan mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, murid pra-sekolah dan tahap satu di negeri Fasa 4 perlu diutamakan ke sekolah untuk menangani isu 3M iaitu membaca, mengira dan menulis dengan SOP yang ketat dan jelas bagi mengelakkan kebimbangan ibu bapa.

“i-Guru menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Menteri Pendidikan yang telah melaksanakan sesi libat urus dengan para guru dan pentadbir sekolah berhubung pembukaan sekolah Oktober nanti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan.

Beliau berkata, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tugasan sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.

Katanya, pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan antara pandangan yang diambil kira adalah pelajar akan diberikan suntikan vaksin di sekolah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button