Dunia

Diskriminasi kejam China terhadap Uyghur jenayah kemanusiaan

Hak asasi PBB gesa tindak balas segera dari antarabangsa

GENEVA, 4 Safar 1444H, Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan penahanan diskriminasi China terhadap Uyghur dan kumpulan etnik lain yang kebanyakannya beragama Islam di wilayah Xinjiang adalah jenayah kemanusiaan.

Pejabat hak asasi manusia PBB dalam laporannya pada Rabu menggesa tindak balas segera daripada antarabangsa terhadap dakwaan penyeksaan dan pencabulan hak lain dalam kempen Beijing membasmi keganasan.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet mengetepikan gesaan China untuk menahan laporan itu berikutan lawatannya sendiri ke Xinjiang pada Mei – yang didakwa Beijing sebagai sebahagian daripada kempen Barat untuk mencemarkan reputasi China.

Laporan PBB itu telah mencetuskan ‘tarik tali’ untuk pengaruh diplomatik dengan Barat ke atas hak penduduk asal Uyghur di rantau berkenaan dan kebanyakan etnik lain yang majoritinya beragama Islam.

Bachelet berkata, dalam beberapa bulan lalu dia menerima tekanan daripada banyak pihak untuk menerbitkan atau tidak menerbitkan laporan itu.

Pada Jun, Bachelet berkata, dia tidak akan dilantik semula untuk penggal baharu sebagai ketua hak asasi dan berjanji akan mengeluarkan laporan itu pada 31 Ogos.

Bechelet telah menumpukan perhatiannya ke Xinjiang apabila cukup mencabar China apabila pemantau hak asasi lain menyebut penderaan terhadap muslim Uyghur.

Dalam tempoh lima tahun lalu, kempen penahanan besar-besaran kerajaan China di Xinjiang telah mengheret jutaan muslim Uyghur ke dalam rangkaian penjara dan kem – yang kononnya didakwa sebagai pusat latihan, namun sebaliknya adalah pusat tahanan yang kejam.

Beijing sejak itu telah menutup banyak kem berkenaan, namun ratusan ribu mereka masih dipenjarakan tanpa pertuduhan jelas.

Atas sebab itu, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menuduh Beijing melakukan pembunuhan beramai-ramai.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button