MOSTI perlu jayakan agenda dari pengguna kepada pencipta teknologi
Fokus kualiti berbanding kuantiti dalam aspek kompetensi graduan

BANGI, 5 Safar 1443H, Ahad – Graduan yang berkualiti mampu membantu melonjakkan industri nasional dalam misi merangka pembinaan status Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi.
Justeru, demi mengadaptasikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kepesatan teknologi yang bakal mengambil alih tenaga buruh mesti diambil perhatian oleh semua anak muda di peringkat sekolah mahupun universiti.
Mentor Kluster Teknologi Kongres Nasional 2021, Nik Mohd Farhan berkata, graduan yang dihasilkan oleh universiti awam mahupun swasta perlu menitikberatkan kualiti berbanding kuantiti dalam aspek kompetensi graduan dalam sesuatu bidang.
Perkara itu penting bagi menjamin survival graduan untuk kekal relevan di alam industri, katanya.
“Jika mahu mencapai hala tuju yang telah digariskan oleh kerajaan sebagai pengeluar teknologi, kita mestilah memperkasakan dasar pemindahan teknologi.
“Seruan yang drastik untuk mengurangkan jumlah pekerja asing juga sangat diperlukan,” katanya dalam kongres yang disiarkan secara maya.
Selain itu, beliau turut meminta golongan berkenaan untuk tidak terlalu fokus dengan kekurangan syarikat permulaan atau ‘startup’ dalam negara ini.
Sebaliknya, mereka perlu bekerjasama membantu mewujudkan keadaan yang kondusif untuk syarikat itu dari segi cukai, infrastruktur, bakat, tenaga kerja dan lain-lain lagi
Ia demi memastikan kelangsungan perkhidmatan mereka yang mesra pengguna sentiasa diperlukan untuk menyelesaikan masalah berfokus dengan pantas.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diseru untuk komited menjayakan agenda transformasi negara ini daripada hanya sebagai pengguna teknologi kepada pencipta dan pembangun teknologi serta mampu menjadi pembekal utama kepada negara lain pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, barisan perwakilan kluster teknologi menyuarakan pandangan mereka dalam hala tuju dan masa depan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi.
Ia bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyandang tugas sebagai Menteri Kanan Pertahanan pada Mac lalu.
Ismail Sabri menyatakan bahawa Malaysia telah mengeluarkan peluru sendiri, kereta perisai dan beberapa komponen komposit pesawat selain bekerjasama dengan Turki untuk mengeluarkan kereta perisai jenis Gempita.
Menurut Perwakilan Kluster Teknologi, Luqman Hakim, jika dilihat negara mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang teknologi, namun begitu terdapat enakmen yang ketat yang mungkin menjadi faktor penghalang untuk merealisasikan harapan ini.
“Sebagai contoh, projek dron mempunyai prosedur khas yang telah ditetapkan oleh kerajaan serta menghadkan keupayaan sesebuah syarikat. Apabila anak muda menyertai bidang ini, ia menyediakan ruang pekerjaan yang sangat terhad.
“Kita perlu menitikberatkan teknologi IR4.0 yang memfokuskan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), 3D printing dan penggunaan reality maya (VR) dalam sektor utama kerajaan seperti teknologi pembuatan, pertanian, pendidikan, pelancongan dan perubatan,” katanya.