Berita Utama

Pembukaan sekolah elak pelajar renggang dengan sistem persekolahan

Sekolah dibuka berdasarkan fasa dalam PPN

PUTRAJAYA, 5 Safar 1443H, Ahad – Pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober depan di sebalik angka jangkitan COVID-19 masih tinggi bertujuan mengelak pelajar daripada terus renggang dengan sistem persekolahan.

Mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata, sekolah dibuka berdasarkan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dengan beberapa pendekatan menangani jangkitan COVID-19.

Katanya, para pelajar telah lama renggang dengan sistem persekolahan disebabkan penutupan sekolah sejak Mei lalu akibat penularan wabak itu dan keputusan pembukaan semula dibuat setelah mengadakan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam konteks pembukaan semula sekolah secara bersemuka, kita sedar ramai di luar sana sebut tutup sahaja, buka tahun hadapan, tapi hakikatnya kita bergerak dalam fasa PPN di mana kita perlu membawa kehidupan balik kepada asal dalam norma baharu dan tatacara yang perlu dipatuhi.

“Seramai lima juta murid datang daripada pelbagai latar belakang…ada yang tinggal di bandar ada di pedalaman, ada yang tinggal di pinggir bandar, ada yang mampu dan tidak mampu, datang daripada sosial ekonomi berbeza,” katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Katanya, kementerian yakin dengan segala libat urus dan perbincangan, kerangka yang mereka bentangkan walaupun tidak sempurna tetapi adalah terbaik dalam konteks PPN termasuk pendidikan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button