Berita UtamaDunia

‘Perlu wang sara keluarga’, wanita Afghanistan beranikan diri kembali bekerja

Taliban dakwa sudah berubah, akan lebih bertoleransi

KABUL, 5 Safar 1443H, Ahad – Kurang sebulan selepas Taliban menguasai ibu kota Afghanistan, Rabia Jamal terpaksa membuat keputusan sukar dengan memberanikan diri kembali bekerja di lapangan terbang.

Meskipun Taliban mengatakan wanita perlu berada di rumah susulan risiko keselamatan, ibu kepada tiga anak berusia 35 tahun itu merasakan dia cuma ada sedikit pilihan.

“Saya perlukan wang untuk menyara keluarga saya.

“Saya rasa tertekan di rumah… saya rasa amat teruk sekali. Tetapi sekarang saya rasa lebih baik,” katanya kepada AFP.

Daripada 80 wanita yang bekerja di lapangan terbang sebelum Kabul jatuh ke tangan Taliban pada 15 Ogos lalu, hanya 12 orang kembali bekerja.

Namun, mereka hanya dalam kalangan segelintir wanita di ibu negara itu yang dibenarkan kembali bekerja.

Taliban memberitahu kebanyakan mereka supaya tidak kembali bekerja sehingga notis selanjutnya.

Kakak kepada Rabia, Qudsiya Jamal, 49, memberitahu AFP dia terkejut dengan Taliban yang menguasai semula negara itu.

“Saya amat takut,” kata ibu kepada lima anak yang menjadi satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga.

“Keluarga saya bimbangkan saya. Mereka beritahu saya supaya tidak kembali tetapi saya gembira sekarang. Tenang… tiada masalah setakat ini,” katanya.

Hak asasi golongan wanita di Afghanistan amat terhad di bawah pemerintah Taliban antara 1996 hingga 2001.

Bagaimanapun, sejak kumpulan itu kembali berkuasa, mereka mendakwa sudah berubah dan akan lebih bertolarensi.

Wanita dibenarkan untuk belajar di universiti selagi kelas dibahagikan mengikut jantina atau sekurang-kurangnya menggunakan langsir, kata pihak berkuasa pendidikan Taliban. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button