Berita Utama

Jangan iktiraf UEC, silibus ‘butakan’ jati diri anak watan

Pastikan kerajaan tidak tunduk tuntutan pihak minoriti

BANGI, 6 Safar 1443H, Isnin – Rakyat benar-benar mahu tahu pendirian kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung status Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – selepas terdapat khabar angin mendakwa sijil berkenaan berkemungkinan akan diiktiraf. 

Ini kerana, sekiranya benar – tindakan ini boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap pendidikan negara. 

Rakyat tidak mahu pemimpin negara hilang jati diri dan bacul sehingga tunduk dengan tuntutan golongan minoriti, hanya semata-mata mahu kekal berkuasa. 

Ingatlah bukan hanya tanah tergadai, bahkan sikap ‘tunduk’ kerajaan juga boleh menggadaikan bahasa Melayu, maruah serta kuasa ekonomi dan politik.

Demikian tegas Ketua Biro Integriti dan Undang-Undang BERJASA, Hajah Widad Asnawi sebagai mengulas desas-desus rancangan kerajaan meluluskan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Sanggupkah pendidikan anak watan Malaysia tergadai dengan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) di antara kerajaan dan pembangkang yang isi tuntutannya adalah pengiktirafan terhadap UEC.

“Pengiktirafan pemimpin kerajaan terhadap UEC adalah satu pengkhianatan dan pelanggaran kepada Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau menggesa masyarakat supaya bangkit menentang sebarang pengiktirafan sijil berkenaan, yang jelas silibusnya ‘buta’ jati diri anak watan negara.

Sebelum ini, portal media tempatan, Samudera.my yang memetik sumber dalaman melaporkan bahawa UEC – yang selama ini menjadi subjek kontroversi – bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button