Berita Utama

Kerajaan akan dianggap ‘langgar’ Perlembagaan jika iktiraf UEC

Tolak pemimpin yang hanya nak kuasa tapi tiada agenda

BANGI, 6 Safar 1443H, Isnin – Kerajaan dianggap ‘melanggar’ Perlembagaan sekiranya khabar angin mengenai usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – sukatannya berkiblatkan Taiwan dan bercanggah Dasar Pendidikan – adalah benar.

Terdahulu, portal media tempatan, Samudera.my yang memetik sumber dalaman melaporkan bahawa UEC – yang selama ini menjadi subjek kontroversi – bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim menegaskan, Perlembagaan Persekutuan mesti menjadi ‘tiang seri’ kepada penyatuan bangsa nasional.

Justeru, beliau mengajak rakyat bijak memilih pemimpin yang mampu mendaulatkan Perlembagaan negara dan bukan sekadar retorik semata-mata.

“Sebab itu saya ingatkan kita mesti cerdik (memilih) pemimpin bagaimana yang benar-benar mendaulatkan Perlembagaan atau hanya mampu bercakap untuk mendaulatkan Perlembagaan tetapi UEC diiktiraf.

“Atau mampu bercakap mendaulatkan Perlembagaan pada masa yang sama sekolah vernakular dapat laluan yang luas sehingga mereka (pelajar) boleh diberikan peluang bekerja di negara kita. Ini kita rasakan sudah melanggar Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel wawancara BERJASA bertajuk Malaysia vs Palestin: Siapa lebih merdeka? yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook BERJASA malam tadi.

Wawancara itu turut disertai Pemimpin Kanan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Syeikh Osama Hamdan.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Zamani meminta rakyat memilih pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab untuk membawa negara ke persada yang hebat sehingga menjelmakan semula kegemilangan satu ketika dahulu.

“Dan ini mesti diterajui oleh pemimpin pemimpin yang berwibawa, beragenda, sangat luas jangkauan pandangannya bukan sekadar untuk mendapat dan merebut kuasa.

“Pemimpin sebegini adalah pemimpin yang kita perlu tolak kerana mereka tidak berpandangan jauh dan mereka ini hanyalah pemimpin yang kering idea.

“Mereka tahu nak kerusi, dapat kuasa dan nak kaya, ke mana negara nak dibawa, mereka tidak ada agenda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button