Berita Utama

Segerakan vaksinasi pelajar peperiksaan sebelum buka sekolah

Beri autonomi kepada pihak sekolah tentukan bentuk giliran pelajar

BANGI, 6 Safar 1443H, Isnin – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini bagi negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, i-Guru berpandangan ada beberapa isu yang perlu diberi tumpuan oleh pihak KPM susulan keputusan itu, antaranya mempercepatkan usaha vaksinasi pelajar-pelajar tahun peperiksaan dan kelas peperiksaan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan ekosistem pendidikan selamat serta terjamin.

Selain itu, memberikan autonomi kepada pihak sekolah dalam menentukan bentuk pergiliran pelajar ke sekolah sama ada bergilir ikut kelas sebagaimana kenyataan Menteri Pendidikan atau bergilir mengikut tingkatan.

Pada masa sama, memberikan ruang dan pilihan kepada pihak sekolah untuk memilih kaedah yang terbaik berdasarkan komposisi murid yang berbeza di setiap sekolah berbeza juga kemudahan infrastruktur yang sedia ada.

i-Guru turut meminta penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada apabila sesi pembukaan sekolah nanti dengan mengambil kira dua kategori pelajar iaitu yang telah divaksin dan belum divaksin.

Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menjelaskan ini penting agar pengoperasian sekolah nanti dapat dikawal selia dengan baik dan meminimakan kadar jangkitan.

“i-Guru menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan berhubung pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini khususnya dalam mendepani pengoperasian sekolah dalam keadaan endemik.

“Pengumuman ini diharap dapat memberikan maklumat yang tepat kepada semua pihak terutama warga guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa serta menjelaskan kekeliruan-kekeliruan yang timbul sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembagan sama, Ustaz Azizee berharap penjelasan pembukaan sekolah secara berfasa dan berperingkat dapat melegakan ibu bapa serta menekankan keutamaan pada aspek keselamatan dan kesihatan eko sistem pendidikan tanpa mengabaikan aspek kelangsungan pendidikan.

Katanya, ini akan membantu menangani isu kelesuan dan hilang motivasi belajar akibat tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lama di rumah serta memastikan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid-murid pra sekolah dan berkeperluan khas.

“Pihak i-Guru mengucapkan terima kasih di atas kesediaan Datuk Dr Radzi Jidin kerana sudi turun padang dan mengadakan libat urus dengan semua pihak termasuk pihak guru, pentadbir sekolah, ibu bapa dan pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button