Berita UtamaDunia

Sesi persekolahan di Bangladesh dibuka selepas 18 bulan ditangguh

UNICEF beri amaran pelajar berdepan masalah kemunduran

DHAKA, 6 Safar 1443H, Isnin – Sesi persekolahan di Bangladesh kini dibuka semula, selepas penangguhan selama 18 bulan berikutan penularan pandemik COVID-19 – penutupan sekolah paling lama di dunia.

Pembukaan itu diumumkan selepas Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran penutupan sekolah yang berpanjangan akan memberi ketidakadilan kepada jutaan anak-anak yang bersekolah.

“Penutupan sekolah di negara itu telah memaksa kanak-kanak dan guru beralih kepada pembelajaran jarak jauh selain berdepan masalah sambungan peranti yang agak lemah, kata Pengarah Wilayah UNICEF George Laryea-Adjei, dalam kenyataan seperti dipetik AFP.

Beliau mendedahkan, kesan daripada penutupan sekolah anak-anak akan mengalami kemunduran besar dalam perjalanan pembelajaran mereka.

“Di India 80 peratus kanak-kanak mendakwa mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran secara sempurna berbanding pembelajaran secara fizikal di dalam kelas,” katanya.

Sementara itu, persatuan pengendali telekomunikasi Bangladesh berkata, hanya 41 peratus daripada 169 juta populasi di negara itu memiliki telefon pintar, dengan pelajar di luar bandar berdepan masalah kekurangan capaian Internet.

Dalam tinjauan AFP di Dhaka, pelajar sekolah disambut meriah oleh pentadbir dan semua pelajar wajib memakai pelitup muka dan membersihkan tangan sebelum memasuki kawasan sekolah.

Rata-rata pelajar kelihatan teruja berjumpa rakan sekelas selepas 543 hari diberikan cuti. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button