Berita Utama

Anwar bayangkan rombakan Kabinet bulan ini

PUTRAJAYA, 17 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini.

Ketika diajukan soalan berkaitan rombakan Kabinet selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 18, di sini, Anwar telah memanggil seorang kanak-kanak Akmal Hafiz Yaseer Arafat, 12, dan memintanya untuk mengulangi soalan berkenaan sebagai mewakili pemberita.

“Datuk Seri, bila rombakan Kabinet,” tanya kanak-kanak tersebut.

“Akmal cadang bila, sebelum atau selepas 2024,” tanya Anwar kepada kanak-kanak berkenaan dan Akmal Hafiz menjawab: “Sebelum 2024”.

“Dia jawab sebelum 2024. Saya setuju,” kata Anwar.

Terdahulu, Anwar bersama kira-kira 2,000 jemaah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan yang diimamkan oleh Imam I Surau Putra Al-Amin Fasa 4C Amirul Aqif Ismail.

Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Memaknakan Kekayaan Dengan Berzakat’ yang kandungannya antara lain mengajak umat Islam untuk menunaikan zakat dan mengikis sifat bakhil demi meraih keredhaan Allah SWT.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa menjamu selera di pekarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah termasuk kanak-kanak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button