Berita UtamaDunia

Aktivis antivaksin terkenal Israel meninggal akibat COVID-19

Shaulian mengadu sesak nafas, tak boleh berjalan sejauh 3 meter tanpa mesin oksigen

TEL AVIV, 7 Safar 1443H, Selasa – Seorang aktivis antivaksin yang terkenal di negara haram Israel, Hai Shaulian, 57, meninggal dunia, semalam di Pusat Perubatan Wolfson di Holon kerana jangkitan COVID-19.

Sebelum ini, Shaulian menggesa pengikutnya di media sosial supaya tidak mengambil vaksin.

Dia dalam hantaran di media sosial berkata: “Wabak itu tiada – vaksin itu tidak perlu dan berbahaya.”

Shaulian yang menganjurkan demonstrasi ‘anti-Green Pass’ di Baitulmaqdis kira-kira dua minggu lalu kemudiannya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya.

Tidak lama kemudian, dia mula berasa tidak sihat dan setelah dibawa ke hospital, Shaulian disahkan positif menghidapi coronavirus.

Shaulian kemudian memuat naik video ke media sosial sejak dia dimasukkan ke hospital.

“Saya disambungkan ke mesin oksigen. Tanpanya saya sesak nafas. Sekiranya saya mencabutnya dan berjalan sejauh tiga meter – saya pengsan. Saya batuk kuat dan selalu rasa sesak nafas,” katanya.

Dalam video tersebut juga, Shaulian mengadu mengenai layanan yang diterimanya di balai polis di mana dia ditangkap, dengan mengatakan bahawa anggota polis meletakkan kaki mereka di lehernya, dan mendakwa bahawa polis Jerusalem cuba meracuninya.

“Saya tidak pernah merasakan ini sepanjang hidup saya. Sepanjang minggu saya bergelut seolah-olah tidak ada yang berlaku, tetapi hari ini saya tidak dapat lagi bernafas dan pergi ke HMO dan dari sana saya dipindahkan ke Pusat Perubatan Wolfson. Sekiranya sesuatu berlaku kepada saya – ketahuilah bahawa ia adalah cubaan pembunuhan,” dakwanya lagi.

Selepas Shaulian meninggal dunia pada hari Isnin, beberapa penyokongnya mula mendakwa dia mendapat rawatan sub-par dari kakitangan hospital kerana kepercayaannya, bahkan salah seorang daripada mereka mendakwa kematiannya diatur oleh agensi keselamatan domestik Shin Bet dengan kerjasama kakitangan polis dan hospital. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button