Berita Utama

‘Tahniah DAP! Berjaya masuk rumah UMNO’

UMNO hilang taring pertahan individu korup dalam parti

BANGI, 3 Zulkaedah 1444H, Selasa – BERJASA menyifatkan UMNO sudah hilang hala tuju perjuangannya setelah parti Melayu itu mula membuka pintu kepada DAP untuk masuk ke ‘rumahnya’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, UMNO kini hilang taringnya sebagai parti Melayu hanya semata-mata demi mempertahan individu korup dalam kepimpinannya itu.

“Bagi saya, UMNO jangan bercakap tentang perjuangan Melayu. You (kamu) sendiri pun tak mampu menghalang DAP bercakap di pentas utama dalam rumahtangga sendiri.

“Saya bimbang UMNO akan menggali kubur di rumahnya sendiri sebab dia membenarkan DAP bercakap, membawa agenda di dalam rumah tangganya. Kasihannya UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kehadiran pemimpin dan ahli DAP di Dewan Merdeka WTC buat pertama kalinya sempena penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

Dewan Merdeka dianggap sebagai lokasi istimewa bagi ahli UMNO yang juga merupakan tempat berlangsungnya perhimpunan agung parti itu.

Mengulas lanjut, Zamani secara sinis turut mengucapkan tahniah kepada DAP kerana mencipta sejarah apabila mampu masuk ke Dewan Merdeka yang dianggap lokasi keramat buat orang Melayu.

“Saya nak ucap tahniah kepada DAP kerana telah mencipta sejarah besar mampu menerobos masuk ke dalam Dewan Merdeka yang dimiliki UMNO sebagai dewan keramat, dewan yang mempertahankan bangsa Melayu.

“Saya merasa cukup kagum dengan kehebatan dan kebijakan DAP mempergunakan kelemahan UMNO yang ada sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button