Berita UtamaDunia

England tawar suntikan vaksin kepada kanak-kanak 12-15 tahun

Ketua Pegawai Perubatan cadang suntikan pertama vaksin Pfizer

LONDON, 7 Safar 1443H, Selasa – Semua kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun di England akan diberi suntikan vaksin COVID-19.

Kerajaan mengesahkan bahawa tawaran itu akan diberikan kepada semua kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun selepas mendapat cadangan sebulat suara oleh Ketua Pegawai Perubatan (CMO) dari empat negara – England, Scotland, Wales dan Ireland Utara – di United Kingdom (UK).

Menteri Kesihatan, Sajid Javid dalam satu kenyataan berkata, beliau telah menerima saranan daripada CMO untuk memperluas vaksinasi kepada mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun.

CMO mengesyorkan agar kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di Britain mendapatkan suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

Saranan disuarakan selepas Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) awal bulan lalu memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan tersebut.

JCVI sebelum ini mengatakan keputusan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak ‘seimbang’ tatkala kerajaan meminta nasihat lebih lanjut mengenai masalah ini.

“(Vaksinasi) akan mengurangkan gangguan pendidikan.

“Kami tidak menganggap bahawa ini adalah ubat mujarab, tidak ada ‘silver bullet’… tetapi kami fikir ia adalah alat tambahan yang penting dan berpotensi berguna untuk membantu mengurangkan kesan kesihatan awam yang timbul akibat gangguan pendidikan,” kata Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty pada taklimat berita.

CMO berkata, dos kedua tidak akan ditawarkan kepada kumpulan umur sehingga sekurang-kurangnya musim bunga kerana mereka akan menunggu lebih banyak data dari seluruh dunia.

Terdapat lebih daripada 134,000 kematian akibat COVID-19 di Britain, dan permulaan yang cepat untuk pelancaran vaksin menjadi perlahan, dengan 81 peratus daripada mereka yang berusia lebih dari 16 tahun menerima dua dos vaksin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button