Berita Utama

Kes jenayah siber di Selangor meningkat mendadak tahun ini

Peras ugut rakaman lucah semakin berleluasa ketika pelaksanaan PKP

SHAH ALAM, 7 Safar 1443H, Selasa – Kes jenayah siber di Selangor meningkat secara mendadak apabila sebanyak 380 kes telah dilaporkan setakat Ogos tahun ini, berbanding 51 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, jenayah tersebut terutamanya melibatkan peras ugut rakaman lucah semakin berleluasa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kebanyakan individu menghabiskan banyak masa di rumah dan menggunakan teknologi komunikasi secara meluas.

Justeru, orang ramai dinasihati agar berhati-hati dalam penggunaan teknologi kerana ramai telah menjadi mangsa peras ugut dipercayai dilakukan oleh sindiket, orang perseorangan mahupun bekas pasangan mereka yang bertindak menularkan aksi peribadi mereka.

“Semua pihak perlu berhati-hati dan jangan merekod apa yang boleh mengaibkan diri sendiri kerana kita tidak tahu bila rakaman itu akan tersebar,” katanya yang menjadi dalam program Bual Bicara di Facebook Live Polis Selangor mengenai ‘Penipuan Jenayah Siber’, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber), Supt Raduan Othman berkata, bagi kes jenayah ‘love scam’, sebanyak 160 kes dilaporkan sehingga Ogos ini melibatkan kerugian RM7 juta di Selangor, berbanding 223 kes pada tahun lepas dengan jumlah kerugian RM16 juta.

Katanya, jenayah ‘love scam’ kebiasaannya didalangi warga asing manakala mangsa terdiri daripada ibu tunggal serta wanita berusia yang masih bujang.

Tambah beliau, jenayah siber akan terus berlaku seiring dengan kemajuan teknologi dan pada sama ramai yang akan menjadi mangsa individu tamak atau sindiket tertentu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button