Berita UtamaDunia

UNHCR gesa urus pelarian Afghanistan secara fleksibel

Pelarian berdepan masalah untuk bersatu dengan keluarga

GENEVA, 9 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menggesa negara-negara luar memudah dan mempercepatkan prosedur untuk penyatuan rakyat Afghanistan yang kehilangan tempat tinggal di negara itu.

Jurucakap UNHCR, Shabia Mantoo berkata, situasi ini berlaku disebabkan keadaan politik tidak terurus sekali gus menyebabkan ramai rakyat Afghanistan dan pencari suaka terpisah dengan keluarga masing-masing.

Beliau menyatakan ramai penduduk Afghanistan mengunjungi pejabat UNHCR kerana menyatakan kerisauan dengan keselamatan serta kebajikan keluarga mereka di Afghanistan atau di negara-negara jiran selepas Taliban memerintah, Ogos lalu.

Bercakap di Geneva, Shabia menambah, perkara itu penting bagi memastikan semua pihak selamat daripada keadaan mencabar dan kritikal.

“UNHCR mendesak supaya negara-negara memberi keutamaan dan memudahkan kemasukan penduduk Afghanistan,” katanya.

Katanya lagi, walaupun negara-negara luar mempunyai perundangan yang menyediakan keperluan kepada pelarian dan menawarkan perlindungan tetapi beliau bimbang pelarian Afghanistan berdepan masalah disebabkan halangan daripada perundangan negara-negara yang ingin dituju.

Beberapa halangan utama bagi mereka yang ingin menyatukan kembali keluarga termasuklah kos pembiayaan, waktu menunggu yang lama dan proses dokumentasi ketat.

Disebabkan kebanyakan kedutaan dan konsulat kini ditutup di Afghanistan, UNHCR menggesa negara-negara luar mempertimbangkan masalah yang dihadapi pelarian dalam memenuhi syarat dan dokumentasi yang diperlukan.

Agensi itu mencadangkan agar pendekatan yang lebih pragmatik dan fleksibel dilakukan termasuk kaedah pemprosesan inovatif.

Sementara itu, jurucakap UNHCR di Kabul, Babar Baloch pula berkata, rakyat di Afghanistan kini berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan bantuan segera.

Malah beliau berharap UNHCR membantu kira-kira hampir setengah juta rakyat Afghanistan yang berdepan musim sejuk tidak lama lagi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button