Berita Utama

Pemandu Myvi lawan arus di Lebuhraya MEX dipenjara, didenda

Jalani hukuman penjara hari ini selain lesen memandu digantung

KUALA LUMPUR, 7 Safar 1443H, Selasa – Padah memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal bulan ini, seorang ejen insurans dipenjara tiga hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Amanina Mohamad Anuar memerintahkan Ng Zhen Kai, 24, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selain lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan.

Ng sebagai pemandu Perodua Myvi didakwa memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 11.05 pagi, 4 Sept lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen tidak kurang lima tahun dan lesen percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen memandu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, namun Ng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga.

Pada 4 Sept lepas, media melaporkan polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Myvi berwarna kelabu yang dirakam memandu secara melawan arus di laluan menghala ke Putrajaya di Lebuhraya MEX dalam satu video berdurasi 19 saat yang tular di laman sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button