Puak cauvinis mudah ambil kesempatan kerana tiada ‘Dasar Induk Negara’
Pemimpin tak kisah dimanipulasi asal kedudukan tidak terjejas
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Safar 1443H, Selasa – Malaysia tidak memiliki ‘Dasar Induk Negara’ yang digubal berpandukan Perlembagaan Persekutuan untuk dijadikan rujukan mandatori dalam penggubalan apa jua dasar, wawasan mahupun pelan tindakan kebangsaan, kata penganalisis politik, Datuk Dr Hasan Mad.
Ketiadaan itu, menurutnya, menyebabkan pemimpin sewenang-wenangnya membuat sesuatu dasar semasa mengikut seleranya dalam mencari populariti.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, kerana itu juga puak-puak cauvinis mudah mengambil kesempatan daripada kealpaan kerajaan sejak dari dahulu lagi.
“Dalam keadaan semasa di mana kedudukan politik tidak stabil dan tidak menentu, puak-puak ini sepantas kilat ambil kesempatan membuat takrifan, mengikut kepentingan puak mereka, sesuatu dasar atau wawasan yang diajukan pemimpin.
“Pemimpin pula tak kisah apa juga puak-puak ini nak manipulasi, asalkan popularitinya atau kedudukannya tidak terjejas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau turut merujuk beberapa insiden sebagai renungan dan meninjau sejauh mana kesannya apabila negara tidak mempunyai Dasar Induk Negara.
Katanya, dasar negara sering dieksploitasi oleh puak-puak cauvinis dengan menyelitkan agenda mereka yang didukung teguh oleh tiga institusi serangkai iaitu politik-pendidikan-ekonomi.
Bahkan, keutuhan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri juga terus-menerus dicabar mereka.
“Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu ketagih undi daripada puak-puak ini, pemimpin BN sendiri menghalalkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), malah iktiraf kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang ternyata menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
“Akhirnya puak-puak ini semakin berpengaruh, malah berjaya pengaruhi pentadbiran Kementerian Pendidikan. Hakikatnya, cacing dah naik ke mata,” katanya.
Manakala di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Hasan berkata, apabila Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) diumumkan, dan belum pun sempat kerajaan memberikan takrifan mengenainya, puak ini sudah membuat takrifan mereka untuk ‘ditelan’ oleh semua rakyat Malaysia.
“Mereka sorok bab kekayaan negara yang sebelum merdeka mereka kaut bersama penjajah, yang tidak pun dikongsi secara saksama. Kerajaan nak gubal Akta Kesaksamaan Peluang pun takut kepada mereka ini. Realitinya, cacing dah penuh kat mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasan yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, kini apabila kerajaan Keluarga Malaysia menetapkan syarat kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya untuk mereka dari aliran pendidikan nasional, puak cauvinis membantahnya kerana mendakwa ia kononnya tidak konsisten dengan hala tuju kerajaan baharu.
“Sebenarnya mereka perjuangkan hak pelajar sistem pendidikan vernakularnya. Selang sehari, Menteri Pembangunan Luar Bandar terus umum batalkan syarat oleh MRSM itu demi kepentingan kerajaan Keluarga Malaysia dan akur dengan desakan puak-puak cauvinis ini.
“Terlalu banyak nak diungkit. Hakikatnya, WKB2030, KKM dan entah apa lagi dasar setiap pemimpin yang bersilih ganti umumkan, ianya hanyalah demi menjaga kepentingan dan populisme masing-masing, bukan demi kemakmuran negara atau kesejahteraan rakyat,” katanya.