Berita Utama

SAMKA desak kerajaan Pahang, RDP hormat keputusan Mahkamah Rayuan

Keputusan mahkamah dianggap 'kemenangan kecil' pekebun durian Raub

KUANTAN, 7 Safar 1443H, Selasa – Save Musang King Alliance (SAMKA) mendesak kerajaan negeri Pahang dan Royal Pahang Durian Group (RPD) untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan serta tidak membalas dendam terhadap pekebun durian.

Desakan lantang SAMKA itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada 8 September lalu mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakiman oleh 204 pekebun durian Musang King di Raub terhadap notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang.

Peguam yang mewakili mereka, Siew Choon Jern berkata, mahkamah turut membenarkan perintah penangguhan pelaksanaan untuk mengekalkan status quo sementara ia diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 22 September.

Berikutan itu, SAMKA berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu bermakna pihak berkuasa dan RPD dilarang melakukan penguatkuasaan terhadap pekebun serta menyekat kerja dan pergerakan harian pekebun di kebun mereka sehingga perkara tersebut diselesaikan.

“Sejak SAMKA memulakan proses undang-undang terhadap pihak berwajib dan RPD, kerajaan menyalahgunakan penguat kuasa negara dengan memerintahkan polis, Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk secara konsisten mengancam dan menakut-nakut pekebun durian.

“Pihak berkuasa ingin mewujudkan ‘keganasan putih’ untuk memaksa para pekebun menyerah kepada RPD dan menarik diri daripada tuntutan itu.

“Nasib baik, pekebun tidak melepaskan hak mereka dan menandatangani kontrak dengan RPD; jika tidak, RPD akan memonopoli pasaran domestik sambil terus memanfaatkan hak pekebun dan menjadikan mereka sebagai ‘hamba moden’ tanpa usaha,” dakwa SAMKA.

SAMKA yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai berita baik ditunggu-tunggu oleh semua pekebun durian di Raub juga mendedahkan bahawa, mereka sedang menyiapkan tuntutan mahkamah lain terhadap kerajaan negeri Pahang berhubung penguatkuasaannya yang tidak sah di mahkamah.

“Ini bukan pengakhiran tetapi permulaan perjalanan undang-undang. SAMKA berharap agar para pekebun tetap bersatu, tidak menandatangani atau berkompromi dengan kontrak dan perjanjian yang tidak setara, tidak pernah berserah kepada kerajaan ‘barbarian’, dan tidak pernah menyerah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button