Berita Utama

Teguran Agong, amaran untuk pimpinan fokus semula bina negara

Pelbagai tuntutan dan desakan masih berlaku, titah baginda perlu diambil serius

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Safar 1443H, Selasa – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) merafak sembah titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada semua Ahli Parlimen sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda mengucapkan syukur apabila hari ini Parlimen mampu kembali bersidang setelah melalui fasa-fasa yang sukar.

Beliau menegaskan, sejarah ini adalah penting untuk panduan masa depan negara akan datang.

“Sehubungan dengan titah YDPA, baginda begitu faham dengan apa yang berlaku. Titah tersebut perlu diambil serius kerana krisis yang berlaku sebelum ini diredakan oleh campur tangan YDPA.

“Penyelesaian yang diambil melambangkan peranan institusi raja-raja adalah tertinggi dan utuh. Situasi ini perlu dikekalkan kerana kita maklum, pelbagai tuntutan dan desakan masih berlaku.

“Kekusutan kecelaruan kepimpinan negara yang berlaku hanya baginda yang tahu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain titah yang datang tepat pada masanya, Ustaz Fahmi turut menyifatkan titah baginda sebagai amaran serta peringatan untuk kesemua pimpinan negara dan parti politik terus fokus membina semula negara.

“BERJASA merafak sembah mengucapkan tahniah, di atas segala kerja keras dan kesudian tuanku mencemar duli menyelesaikan polemik yang berlaku,” katanya.

Semalam, Al Sultan Abdullah menitahkan kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik.

Baginda juga menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button