Berita Utama

Pelabur asing beli ekuiti RM425.3 juta setakat 19 Mac

Pembelian lebih rendah daripada sebahagian pasaran ASEAN

KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Pelabur asing membeli ekuiti tempatan bernilai RM425.3 juta bersih di Bursa Malaysia sehingga 19 Mac, menjadikan aliran keluar bersih asing terkumpul setakat ini pada tahun ini kepada RM1.3 bilion atau AS$318.2 juta.

“Ini lebih rendah daripada beberapa pasaran di ASEAN seperti Thailand dan Filipina yang mencatatkan aliran keluar bersih asing, masing-masing sebanyak AS$1.1 bilion dan AS$849.6 juta, setakat ini pada 2021,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Pada minggu ketiga Mac, katanya, pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM101.1 juta bersih berbanding RM240.7 juta pada minggu sebelumnya.

Adam berkata, Bursa Malaysia memulakan minggu tersebut dengan sentimen positif berikutan pelabur antarabangsa menyerap RM26.0 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin.

“Sentimen serantau dibantu oleh aktiviti ekonomi China yang melonjak dalam tempoh dua bulan pertama 2021 berbanding tahun lepas, walaupun angka menunjukkan pemulihan yang tidak sekata dengan pengeluaran industri yang kukuh didorong oleh eksport tetapi perbelanjaan pengguna mencatat kemajuan yang perlahan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, katanya, pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih di bursa tempatan berikutan mereka mengeluarkan RM21.4 juta bersih menjelang mesyuarat dasar monetari utama Rizab Persekutuan (Fed) pada Rabu.

Selain itu, katanya, sentimen mengambil risiko telah terjejas oleh berita bahawa negara-negara terbesar di Eropah, termasuk Jerman dan Perancis, memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca Plc berikutan kebimbangan mengenai kesihatan yang semakin meningkat yang telah mewujudkan satu lagi penangguhan untuk kempen vaksinasi Kesatuan Eropah.

“Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia pada Rabu dengan sejumlah RM12.8 juta bersih berikutan kaunter sarung tangan menyaksikan minat belian berikutan langkah oleh negara-negara Eropah untuk menggantung penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang telah meningkatkan prospek penggunaan sarung tangan yang lebih tinggi di rantau itu.

“Bagaimanapun, penggantungan tersebut kemudiannya ditarik balik pada akhir minggu itu berikutan kes meningkat dalam persekitaran sekatan pergerakan baharu,” katanya.

Pada Khamis, dana asing terus membeli ekuiti tempatan walaupun pada kadar yang perlahan sebanyak RM9.5 juta bersih berikutan jaminan oleh Fed untuk mengekalkan kadar faedah hampir sifar untuk tempoh yang panjang walaupun dijangka inflasi meningkat.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed AS mengekalkan kadar dasarnya pada paras sedia ada sebanyak 0-0.25 peratus selepas mesyuarat FOMC Mac 2021.

Ia turut meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 daripada +4.2 peratus kepada +6.5 peratus.

“Pada Jumaat lepas, pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM128.0 juta bersih berikutan rundingan peringkat tinggi yang pertama antara AS dan China tidak berjalan lancar,” kata Adam.

Beliau berkata, kedua-dua pihak saling mengkritik antara satu sama lain mengenai hak asasi manusia, perdagangan dan pakatan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program rangsangan tambahan bertujuan memerangi pandemik COVID-19 serta memperkasakan ekonomi dan rakyat semasa peringkat pemulihan.

Program rangsangan tambahan itu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) berjumlah RM20 bilion dengan suntikan fiskal tambahan sebanyak RM11 bilion oleh kerajaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button