Berita UtamaIstimewa

UEC: Silap ahli politik dahulu biarkan sistem pendidikan ‘dilacur’

Sudahlah berkiblatkan negara luar, sibuk pula mahu masuk dalam sistem kerajaan

BANGI, 7 Safar 1443H, Selasa – Amat malang sekiranya ramai yang tidak memandang serius atau hanya ‘memejam mata’ dalam menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang sukatan pelajarannya berkiblatkan Taiwan.

Lebih menyedihkan jika isu – yang selama ini menjadi subjek kontroversi – tidak diperjuangkan dari peringkat bawahan sehingga pemerintah.

Walhal, semua sedia maklum bahawa UEC bertentangan dengan Akta Pendidikan 1966, dasar bahasa kebangsaan malah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, ia banyak dibahaskan oleh pakar Perlembagaan dan pendidikan yang melihat kepada usaha mewujudkan satu substandard dalam institusi sistem pendidikan.

“Justeru, mana mungkin sebagai seorang negarawan dan mereka yang cintakan watan boleh membiarkan sekali lagi… tidak bertegas untuk memastikan negara ini menjalani kehidupan dengan satu pendidikan sahaja.

“Kerana kesilapan ahli politik dahulu yang membiarkan sistem pendidikan ‘dilacurkan’ oleh mereka yang bersifat mementingkan diri. Sudahlah UEC ini berkiblatkan luar negara bahkan bodoh sombongnya tidak mahu pula duduk bersama dalam satu sistem pendidikan.

“Dengan hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong pula mahu memperjuangkan nasib mereka ini untuk masuk ke dalam sistem kerajaan apabila mahu masuk universiti dan bila minta pekerjaan nanti,” katanya ketika menjadi panel Agenda Pertiwi malam ini.

Hazwan mengakui tidak terkejut berhubung dakwaan usaha mengiktiraf UEC susulan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) kepada pihak kerajaan.

Katanya, gerakan seperti ini sudah dimulakan ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad malah dalam Barisan Nasional (BN) juga telahpun membuka ruang untuk UEC diterima dan diiktiraf dalam negara.

“Bahkan kalau kita lihat malam sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Najib Razak berulang kali menyatakan akan mengiktiraf UEC dan meletakkan ia dalam manifesto BN.

“Selain itu, pemerintahan selama 22 bulan PH-DAP memang wujud usaha sangat terancang dan agresif dalam memastikan tuntutan UEC ini yang dipelopori oleh gerakan Dong Jiao Zong untuk diiktiraf dalam negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button