Konsep Keluarga Malaysia bukan Malaysian Malaysia!
Perlu diwacana, diperjelas elak menangguk di air keruh

Oleh: Zuhayati Yazid
BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Konsep Keluarga Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh disamakan seperti Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.
Perkara itu ditegaskan penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff yang melihat konsep diperkenalkan hari ini adalah berteraskan perpaduan dan bukannya mahu menyamaratakan dalam semua hal.
“Kena faham dan tahu, dalam konsep keluarga Malaysia, kita memfokuskan kepada perpaduan dan bukannya semua hal.
“Prinsip yang dibawa hari ini diacuankan dalam proses membina masyarakat yang saling memahami dan menghormati satu sama lain.
“Tidak semua boleh disamaratakan kerana kita perlu berpandukan Perlembagaan yang termaktub selama ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau yang juga pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, konsep Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 1960-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi beberapa parti politik.
Ianya dibawa oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), ketika itu orang Melayu di Singapura hanyalah 20 peratus dan konsep itu diteruskan oleh DAP di Malaysia.
Beliau menegaskan, individu yang cuba menyamakan konsep itu disifatkan sebagai mengambil kesempatan.
Sementara itu tokoh budaya, Prof Dr Lim Swee Tin menyifatkan, konsep Keluarga Malaysia perlu diwacanakan kepada masyarakat dalam usaha memberi penjelasan dan maklumat sebenar.
“Menerusi wacana, diyakini boleh memberi pemahaman sebenar mengenai konsep tersebut.
“Wacana perlu diadakan bagi memberi pemahaman daripada mereka yang pakar supaya perincian sebenar dijelaskan dan tiada kekeliruan, serta tidak memberi peluang pihak mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh,” ujarnya.