Berita Utama

Stok lesen JPJ di PUSPAKOM, Pos Malaysia dan MYEG mencukupi

Mampu penuhi kehendak pelanggan sehingga 31 Disember tahun ini

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1443H, Rabu – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan pembekalan dan pengedaran stok Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh jabatan itu serta baki stok yang dimiliki oleh rakan strategiknya adalah mencukupi.

JPJ dalam kenyataan berkata stok dokumen terkawal yang dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) itu turut mampu memenuhi kehendak seluruh pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Disember tahun ini.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM, manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, sehingga semalam didapati baki stok dokumen terkawal JPJ adalah masih mencukupi bagi tujuan menampung keperluan untuk urusan pembaharuan atau transaksi LKM dan LMM, di semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ tersebut.

Di MyEG, masih terdapat 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM, manakala Pos Malaysia pula 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM, dan PUSPAKOM pula 11,950 LKM Motokar.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim hari ini membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ dan aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LMM bagi memastikan ia berjalan dengan cekap dan lancar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button