Berita Utama

PH selesai agih kerusi hujung bulan

Tak wajar adakan PRU15 ketika musim tengkujuh

BANGI, 18 Safar 1444H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya 31 September ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, kedudukan calon tidak dapat ditentukan dalam tempoh terdekat kerana ia di bawah pengurusan parti masing-masing dalam gabungan itu.

“Sasaran kita (PH) untuk menyelesaikan rundingan kerusi bagi menghadapi pilihan raya menjelang 30 September ini, manakala soal calon adalah di bawah pengurusan parti masing-masing.

“Bagaimanapun saya difahamkan setakat ini perkara itu (kerusi) sudah diselesaikan membabitkan enam negeri dan kita yakin ia akan dapat diselesaikan 100 peratus menjelang 30 September ini,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Rafizi berkata, semua parti dalam gabungan itu akan ada pertambahan kerusi membabitkan 52 kerusi yang ditandingi Parti Bersatu Pribumi (Bersatu) pada PRU14.

Mengenai kedudukan calon, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, rundingan mengenai kedudukan calon PH bagi PRU15 ketika ini berjalan lancar dan dilakukan setiap minggu dalam kalangan pemimpin gabungan berkenaan.

“Soal calon dijangka dimuktamadkan di peringkat tertinggi Majlis Presiden PH,” katanya.

Rafizi menegaskan PH akan membuat persiapan terbaik bagi menghadapi PRU15.

“Kita akan pastikan persiapan bermula 1 Oktober ini kerana kita tidak jangka bila PRU15 akan diadakan dan parti perlu bersiap sedia sepenuhnya.

“Bila dah bersiap, tidak akan timbul isu nak panggil PRU awal atau lewat,” katanya.

Rafizi berpandangan PRU15 tidak wajar diadakan pada bulan November memandangkan ketika itu adalah musim tengkujuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button