Dunia

6 suspek rusuhan bola sepak di Indonesia didakwa

Mereka bakal berdepan penjara maksimum 5 tahun

MALANG, 10 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Polis Indonesia mengesahkan enam suspek penyebab rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang sehingga mengorbankan 131 nyawa Sabtu lalu, telah ditahan.

Ketua Polis negara, Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media berkata, hasil siasatan dan bukti yang mencukupi telah mengenal pasti enam suspek yang menyebabkan kepada tragedi berkenaan.

Katanya, enam suspek yang didakwa itu membabitkan tiga pegawai polis dan tiga individu yang bertanggungjawab terhadap perlawanan serta keselamatan, termasuk ketua jawatankuasa penganjur Arema FC dan pegawai keselamatan kelab berkenaan.

Prabowo berkata, dua daripada pegawai polis yang disiasat mengarahkan rakan sekerjanya melepaskan gas pemedih mata.

Sementara, pegawai polis ketiga yang disiasat tahu mengenai peraturan keselamatan FIFA, iaitu melarang penggunaan gas kawalan orang ramai di tepi padang, namun tidak bertindak menghalang gas pemedih mata digunakan rakan sekerjanya.

Suspek bakal berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun jika didapati bersalah.

Persatuan bola sepak Indonesia sebelum ini melarang ketua jawatankuasa penganjur Arema FC dan pegawai keselamatan daripada terbabit dengan bola sepak untuk seumur hidup.

Pengumuman itu dibuat ketika kemarahan orang ramai memuncak terhadap tindak balas polis kepada kumpulan pencerobohan padang.

Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang bersesak ketika penyokong Arema FC cuba mendekati pemain berikutan kekalahan pada persaingan sengit Persebayah Surabaya pada Sabtu lalu.

Keadaan itu mencetuskan suasana huru-hara dan panik kepada penonton menyebabkan ramai yang cedera dan maut akibat lemas serta dipijak.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button