Berita Utama

BERJASA nekad bugarkan semula identiti bangsa Melayu!

Ratusan ribu orang Melayu berjaya tapi tak diuar-uarkan kisah mereka

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Parti BERJASA berhasrat membugarkan kembali identiti bangsa Melayu dengan sejarah kegemilangan, paling penting tidak akan beromantis atau beretorik politik semata-mata.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, selama ini orang Melayu menganggap diri mereka ‘rendah’ berbanding bangsa lain, bahkan ada yang melabel sebagai malas. 

“Walhal, sejarah tidak menyatakan demikian. Hakikatnya apa yang berlaku hari ini ratusan ribu orang Melayu mampu mencapai kejayaan yang sangat baik tetapi tidak diuar-uarkan, tidak diapungkan. 

“Akhirnya orang Melayu itu sendiri rasa apa? Rasa rendah diri, inferior, takut untuk bersaing.

“Kerana itu BERJASA mahu membugarkan semangat orang Melayu supaya mereka bangga dengan ketamadunan Melayu, sejarah datuk nenek moyangnya, supaya tidak rendah diri, tahu siapa diri dan bergerak ke arah yang baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Reset Malaysia: Malaysia Dalam Minda Anak Muda, yang disiarkan secara langsung, malam ini. 

Forum turut disertai Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dan Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Musliha Khorudin. 

Mengulas mengenai keberadaan BERJASA dalam arena politik, Hazwan mengakui BERJASA bukanlah sebuah parti baharu tetapi sudah bertapak sejak tahun 70-an lagi.

Bagaimanapun, BERJASA kini tampil dengan konsep baharu iaitu identiti watan Malaysia demi perpaduan dan hala tuju yang lebih utuh.

“Kita nak rakyat Malaysia mengangkat idenititi watan berteraskan Islam, Melayu dan institusi diraja,” katanya.

Meskipun begitu, Hazwan menjelaskan, BERJASA menerima kemajmukan sebagai kepelbagaian dalam kerangka identiti nasional yang satu kerana pada akhirnya parti ini ingin melihat kesepaduan rakyat Malaysia.

“Kita mengakui kita menerima kemajmukan, kita ada Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain. Kita boleh menerima kemajmukan sebagai kepelbagaian, tetapi kita kena bersatu dalam identiti nasional yang satu,” katanya.

Justeru, katanya, rakyat perlu bersama-sama menggembleng tenaga untuk membawa dan membina negara ini dengan dasar yang lebih baik agar Malaysia menjadi negara yang lebih unggul di masa akan datang. 

“BERJASA meletakkan hikmah kebijaksanaan, neraca dan pendekatan dalam mengemukakan penyelesaian dalam sesuatu permasalahan. 

“Kita tidak fokus semata-mata pada isu yang menghimpit populariti. Contohnya, esok BERJASA menang, sebelum 12 malam dah umum penutupan kilang arak, turunkan harga mintak, hapuskan tol. Bukan begitu.

“Kita tak berasaskan isu populariti, kita nak rakyat tahu bahawa mereka perlu disuakan penyelesaian masalah dengan penuh hikmah dan mengikut neraca,” katanya.

https://www.facebook.com/berjasa.my/videos/548610953048170/

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button