Berita Utama

Kad pengenalan palsu: 7 pekerja warga asing didenda

Didenda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau 6 bulan penjara

SHAH ALAM, 8 Safar 1443H, Rabu – Tujuh warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Lelaki warga negara Filipina Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina; Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia; Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, dan Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mereka dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Sept 2021, jam 2 petang di sebuah kilang tekstil Seksyen 26 Taman Perindustrian Hicom di sini.

Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button