Berita Utama

KPKT perkenal Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia

Bantu rakyat terkesan akibat COVID-19 yang hilang pendapatan, kerja

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan program ‘Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia’ atau ‘Rumah Ikram KPKT’, sebagai satu lagi usaha kerajaan untuk membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif bersifat penampan itu dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas seperti kehilangan atau kekurangan pendapatan dan kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, mahupun dihalau keluar dari rumah sewa serta seumpamanya.

KPKT dalam satu kenyataan berkata, kementerian itu menyediakan 1,000 unit kediaman di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor sebagai langkah permulaan dengan kadar sewa paling minimum iaitu RM124 sebulan.

“YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bersasar KPKT bagi membantu kumpulan rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

“Malah, pasukan KPKT juga sedang merangka beberapa lagi inisiatif bersifat responsif serta penampan untuk mengurangkan keresahan rakyat,” katanya, hari ini.

Kementerian itu berkata, Rumah Ikram KPKT juga adalah sebahagian daripada Agenda ‘Liveable Malaysia atau Malaysia Berdaya Huni’ yang digagaskan oleh Menteri KPKT melalui fungsi serta peranan proaktif KPKT.

“Ikram turut bermaksud ‘memuliakan’ dalam bahasa Arab dan ia menjadi hasrat KPKT untuk memberi kemuliaan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan.

“Usaha ini juga selari dengan matlamat YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasa gagasan Keluarga Malaysia yang bukan sahaja prihatin malah responsif kepada keperluan rakyat,” katanya.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan kemudahan Rumah Ikram KPKT telah dibuka di portal Teduh KPKT melalui pautan http://teduh.kpt.gov.my.

Mereka yang ingin memohon Kediaman Keluarga Malaysia perlu memenuhi syarat ditetapkan iaitu warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, tidak memiliki rumah, tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah atau seumpamanya dan berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

“Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan ke talian hotline Jabatan Perumahan Negara (JPN) KPKT: 03-88914475,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button