Lebih banyak varian muncul jika pemberian vaksin COVID-19 tak seimbang
WHO sasar 40 peratus penduduk setiap negara lengkap divaksinasi akhir tahun ini

GENEVA, 8 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang ketidakseimbangan dalam pemberian vaksin COVID-19 akan menyebabkan semakin meningkat jangkitan virus dan kemungkinan muncul lebih banyak varian baharu.
Malah, keadaan itu juga dibimbangi terus mengganggu sistem sosial dan ekonomi untuk satu tempoh yang lebih lama, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus.
Katanya, setakat ini sasaran global adalah untuk menyokong setiap negara memvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk pada akhir tahun ini dan 70 peratus penduduk dunia menjelang pertengahan tahun 2022.
“Sehingga kini, hanya dua negara di Afrika yang mencapai sasaran 40 peratus. Lebih daripada 5.7 bilion dos telah diberikan di seluruh dunia, tetapi hanya dua peratus diberikan di Afrika.
“Semakin lama ketidakseimbangan ini berlaku, semakin banyak virus beredar dan semakin tinggi kemungkinan varian baharu muncul yang menjadikan vaksin kurang efektif,” katanya dalam webinar WHO di Geneva, semalam.
Tedros berkata, setakat ini perkongsian untuk ekuiti vaksin COVAX telah menghantar lebih daripada 260 juta dos vaksin COVID-19 ke 141 buah negara.
Katanya, COVAX juga berdepan beberapa cabaran apabila pengeluar mengutamakan perjanjian dua hala dan banyak negara berpendapatan tinggi mengikat bekalan vaksin global.
“Atas sebab itu, ambang vaksinasi di Afrika rendah, bukan kerana negara-negara Afrika kurang keupayaan atau pengalaman untuk mengeluarkan vaksin.
“Tetapi mereka ketinggalan jauh oleh negara dunia lain. Jadi rakyat mereka berisiko tinggi dijangkiti dan mati akibat wabak ini,” katanya. – Agensi