Berita Utama

MoU kerajaan-PH diminta tetap utamakan kepentingan Bumiputera

NGO akan tentang MoU sekiranya tuntutan, kelulusan langgar Perlembagaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk mengambil kira kepentingan Bumiputera dalam Butiran Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, sebarang tuntutan yang dikemukakan semasa perbincangan dengan PH hendaklah mengutamakan kepentingan Bumiputera. 

“Hal ini tiada kompromi kerana ianya melibatkan hak dan kepentingan Bumiputera,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Dalam pada itu, Shahbudin berkata, pihak MPM dan rakan-rakan seperjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain akan tetap menegur dan menentang MoU sekiranya tuntutan serta kelulusannya melanggar Perlembagaan Negara.

“Contoh yang paling jelas ialah isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Perlu diingatkan bahawa pengiktirafan UEC boleh memberikan kesan negatif terhadap pensijilan pendidikan negara yang ada sekarang.

“Pada masa yang sama, turut memberikan kesan kepada pelbagai perkara yang dikaitkan dengan Dasar Pendidikan Negara,” tegasnya.

Selain itu, antara perkara yang perlu dinaikkan oleh kerajaan dalam MoU tersebut adalah berkenaan Akta Pembiayaan Dana Politik.

Beliau berkata, ia sepatutnya turut dibawa ke dalam syarat-syarat kandungan MoU.

“Ini disebabkan tanpa akta tersebut, ada kemungkinan akan menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil.

“Tanpa akta tersebut, boleh membuka pintu dan peluang kepada satu pihak untuk menekan pihak yang lain dengan pelbagai tuduhan yang melibatkan rasuah dan menerima dana haram. 

“Kes-kes seperti ini telah berlaku dengan sebegitu lama dan sudah sampai masanya akta ini dibincangkan demi untuk kebaikan dan kestabilan negara,” katanya.

Menyambut baik MoU itu, Shahbudin berkata, MPM berharap segala rundingan dan persefahaman yang sedang dijalankan ini akan mencapai kejayaan yang diharapkan. 

“Buang segala ego dan rasa dendam. Inilah masanya untuk bersama-sama berganding bahu demi menyelamat dan terus mensejahterakan negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button