SUPP kecam PEMBELA berpandangan ekstrem dalam isu UEC
Dituduh guna sentimen perkauman dan ketinggalan zaman

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dikecam menggunakan sentimen perkauman dalam memperjuangkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengiktirafnya.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Ding Kuong Hiing yang menyifatkan pandangan PEMBELA sebagai ektrem dan melihat dunia dengan pandangan yang sempit.
“600 buah universiti dan kolej di seluruh dunia sudah mengiktiraf UEC, tapi pertubuhan ini masih melihat dunia dengan pandangan yang sempit.
“Begitulah pemikiran pertubuhan ekstrem di Malaysia yang bermain dengan sentimen pendidikan, perkauman dan agama.
“Bezanya seperti 18,000 batu jika dibandingkan dengan sahabat Melayu kita di Sarawak yang bersifat menerima, terbuka dan mempunyai perspektif yang luas,” katanya seperti dipetik portal news.seehua.com pada 10 September lalu.
Kuong Hiing berkata, Sarawak telah lama mengiktirafkan UEC bahkan menjadi satu daripada syarat kelayakan untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Beliau mendakwa selepas pengiktirafan dibuat oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem iaitu seorang berketurunan Melayu dan disokong oleh Kabinet Sarawak, ianya tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran di negeri itu.
“Adakah apa-apa yang terjejas selepas Sarawak mengiktiraf UEC? Langsung tiada, rakyat Sarawak daripada pelbagai kaum masih hidup dengan aman dan harmoni, bahasa ibunda setiap kaum bebas berkembang,” katanya.
Beliau menyifatkan PEMBELA tidak terbuka dalam isu berkenaan serta dianggap ketinggalan zaman dan dengan minda yang tertutup meminta kerajaan tidak mengiktiraf UEC.
Kuong Hiing juga melahirkan rasa gembira apabila melihat Sarawak dianggap paling terbuka terhadap pendidikan Cina di Malaysia.
Katanya, selain mengiktiraf UEC, pimpinan Adenan juga telah menyumbang RM3 juta kepada 14 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Sarawak yang ditambah RM1 juta setiap tahun.