Berita Utama

Terengganu sedia laksana hudud, qisas

Perlu lulus RUU355 di Parlimen sebelum enakmen dilaksanakan

KUALA TERENGGANU, 8 Safar 1443H, Rabu – Kerajaan Terengganu menyatakan kesediaan untuk menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu tidak mustahil kerana enakmen telah diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 2002.

Pun begitu, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355 perlu diluluskan terlebih dahulu di Parlimen untuk membolehkan enakmen tersebut dilaksanakan.

“Terengganu kini dalam persiapan ke arah itu dan Mahkamah Syariah juga bersedia pada bila-bila masa untuk membuat atau melaksanakan apa yang akan diperintahkan atau yang akan diluluskan berdasarkan bidang kuasa peruntukan undang-undang yang diberikan.

“Jika pembentangan RUU 355 diluluskan, maka Terengganu bakal muncul negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan hukuman hudud dan qisas mengikut peruntukan diizinkan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita berharap RUU 355 diluluskan, sekali gus akan memberi ruang seluasnya kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan tuntutan syarak ini kepada 96 peratus rakyat Terengganu yang beragama Islam tanpa melibatkan yang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, beberapa bengkel telah diadakan melibatkan bahagian penguatkuasaan, jabatan pendakwaan dan hakim Mahkamah Syariah bagi meneliti penambahbaikan terhadap hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang jenayah syariah itu.

Satiful Bahri berkata, setakat ini, kerajaan negeri sudah menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

“Kita bukan tidak laksana hudud, sebahagian daripada hukuman ini telah diperkasakan bagi kesalahan jenayah takzir. Yang belum dilaksanakan ialah Hudud dan Qisas.

“Setakat ini kita telah menggunapakai hukuman di bawah kesalahan jenayah takzir iaitu 3,5,6 melibatkan peruntukan hukuman tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.

“Bagi kesalahan melibatkan Hudud dan Qisas, ada ruang lingkup yang perlu diperhalusi lagi dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi. Sebab itulah kita tunggu kelulusan RUU 355,” katanya.

Katanya, pihak terbabit akan mengkaji semula peruntukan dalam enakmen hudud dan qisas yang dibuat pada 2002 itu dari segi kesesuaian seiring dengan peredaran masa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button