Berita Utama

Terkilan dakwaan GPMC, I-Medik buat 3 laporan polis

Beri tanggapan salah terhadap petugas barisan hadapan dan memburukkan KKM

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam terhadap Gerakan Post-Mortem COVID-19 (GPMC) yang memberi tanggapan salah dan memburukkan Kementerian kesihatan (KKM).

Ahli jawatankuasa Pusat I-Medik, Zubair Suhaimi berkata, pihaknya terkilan dengan dakwaan GPMC yang memburukkan keadaan dan tidak menghargai jasa kakitangan hospital yang bertungkus-lumus memberi rawatan kepada masyarakat.

“Situasi ini tidak patut berlaku, kerana memberi maklumat yang salah kepada petugas hospital yang sekali gus boleh membantu dan melambatkan proses merawat pesakit.

“Keadaan ini juga dilihat memberi tekanan kepada petugas barisan hadapan itu, sedangkan mereka bertungkus-lumus memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam siaran TV Pertiwi, semalam.

Zubair menambah, pihaknya membuat tiga laporan polis di balai berasingan iaitu di IPD Kajang, Batu 9 di Cheras dan Permaisuri.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak berganding bahu memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini, dan bersama-sama menjaga keadaan supaya kes dapat dikurangkan.

Terdahulu, GPMC menerusi FB Live mendakwa pihak hospital memberi layanan buruk kepada seorang pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Dalam temu bual berkenaan, pesakit berkenaan, Affendy Mohd Yusof mendakwa dirinya dipaksa ditahan di ICU dan tidak dibenarkan pulang ke rumah walaupun enggan meneruskan rawatan.

Affendy kemudian menghubungi GPMC untuk meminta bantuan agar dapat keluar daripada hospital berkenaan.

Malah, lelaki itu turut mendakwa sepanjang empat hari ditahan, dia tidak dibenarkan makanan dan hanya diberikan susu cair.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button